WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melahirkan rasa lega kerana bekas presiden dan calon presiden semasa Donald Trump tidak cedera berikutan cubaan membunuh, lapor Sputnik.

"Saya lega kerana bekas presiden tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan giat dijalankan terhadap insiden ini kerana penguat kuasa undang-undang mengumpulkan lebih banyak butiran tentang apa yang berlaku," kata Biden dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan tiada tempat untuk keganasan politik atau sebarang keganasan lain di AS, tegasnya.

"Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk terus memastikan Perkhidmatan Rahsia mempunyai setiap sumber, keupayaan dan langkah perlindungan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan berterusan bekas presiden itu," kata Biden.

Beliau berkata suspek telah ditahan, sambil menambah bahawa Perkhidmatan Rahsia dan rakan penguat kuasa undang-undang mereka telah melakukan kerja yang baik dalam memastikan keselamatan Trump.

Gabenor Florida Ron DeSantis berkata pada hari Ahad bahawa Negeri Florida akan menjalankan siasatannya sendiri terhadap dakwaan cubaan membunuh Trump.

Terdahulu pada Ahad, ejen Perkhidmatan Rahsia AS melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki bersenjata yang berada 300-500 ela (270-450 meter) dari Trump di padang golf di Florida. Penguat kuasa undang-undang menahan seorang lelaki berhubung kejadian itu.

"Florida akan menjalankan siasatannya sendiri berhubung cubaan pembunuhan di Kelab Golf Antarabangsa Trump", kata DeSantis di platform X.

Beliau berkata rakyat berhak mengetahui kebenaran tentang penyerang yang didakwa itu dan bagaimana dia boleh berada dalam jarak 500 ela dari bekas presiden dan calon presiden Republikan.

Ahli Kongres AS Marjorie Taylor Greene mengenal pasti penyerang yang didakwa sebagai Ryan Wesley Routh, walaupun identiti suspek belum disahkan secara terbuka oleh penguat kuasa undang-undang.

Routh "taksub" dengan konflik di Ukraine, kata Greene. Anggota kongres itu berkongsi catatan daripada akaun media sosial yang dipercayai milik Routh, termasuk satu hantaran pada Mei mendapatkan jemputan untuk tentera bertempur bagi pihak Ukraine.

Trump juga terselamat daripada percubaan membunuh pada perhimpunan kempen di Pennsylvania pada Julai.

Agensi perisikan AS baru-baru ini memaklumkan ibu pejabat kempen calon presiden Donald Trump tentang ancaman pembunuhan dari Iran, lapor CNN pada Ahad, memetik sumber yang dimaklumkan.

Menurut saluran itu, perisikan AS memaklumkan kempen Trump tentang tanda-tanda baharu bahawa Iran merancang untuk memperhebatkan serangan terhadap ahli politik dan anggota pentadbirannya. CNN tidak memberikan maklumat tambahan mengenai perkara itu.

-- BERNAMA