Biden lebih baik daripada Trump - Tun Mahathir
Firdaus Azil
November 25, 2020 21:09 MYT
November 25, 2020 21:09 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut baik Joe Biden sebagai pilihan rakyat Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi Presiden yang seterusnya dan berpandangan perubahan kepimpinan itu boleh mengubah kestabilan politik di peringkat global.
Dalam program khas Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad terbitan Astro AWANI pada Rabu malam, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, berdasarkan perbahasan sewaktu Pemilihan Presiden baru-baru ini, beliau mendapati Biden lebih memahami tentang keadaan semasa, terutamanya mengenai pandemik COVID-19.
“Saya alu-alukan pemilihan Joe Biden sebagai Presiden Amerika kerana daripada perbahasan yang mereka adakan dua kali, kita dapati Joe Biden memang lebih sedar tentang keadaan.
“Trump ini pula, dia punya perhatian terhadap dunia lain. Dia seorang saja yang nampak macam itu. Umpamanya dia berpendapat COVID-19 ini tak ada apa, tak payah itu ini.
"Itu yang menyebabkan hari ini 12 juta rakyat Amerika kena COVID-19 dan 250,000 sudah mati. Ini sebenarnya salah Trump, pasal dia tak ambil berat tentang nasihat daripada doktor,” katanya lagi.
Pada 8 November lepas, Biden yang juga calon Parti Demokrat, berjaya memenangi pilihan raya Presiden AS ke-46 dengan memperolehi 284 undi elektoral manakala pencabarnya, Trump dari parti Republikan hanya meraih 214 undi elektoral.
Memetik laporan AP, berdasarkan unjuran yang dibuat agensi berita itu, kerusi terakhir yang dimenang Biden adalah Pennsylvania yang memberinya 20 undi elektoral.
Mengulas mengenai Perang Dagang China - AS, Dr Mahathir berkata, walaupun situasi itu dijangka masih berterusan, tetapi beliau berpendapat, Biden akan mengambil langkah untuk meredakan ketegangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu
“Saya ingat akan ada modification (pengubahsuaian) barangkali. Mungkin kalau digugurkan langsung pun ada baik juga. Tetapi kalau dia (Biden) ada ubah sikit cara, tidak begitu agresif nak sekat itu sekat ini, mungkin lebih baik.
“Saya dapati Amerika Syarikat adalah penyebab dunia menghadapi masalah ekonomi. Kerana dagangan sana dihentikan, dagangan sini dihentikan dengan alasan yang tak munasabah,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, beliau mempunyai pandangan bahawa Biden akan membentuk dasar yang berbeza dengan dasar sebelumnya, dan akan memperbetulkan kesalahan yang dilakukan sepanjang penggal Trump.
#Mahathir Mohamad
#Dr Mahathir
#Tun Mahathir
#Joe Biden
#Donald Trump
#Presiden Amerika Syarikat
#dasar Amerika Syarikat
#perang dagang
#pilihan raya
#politik
#COVID-19
#pandemik
#presiden
#pemilihan