Biden lawat Vietnam untuk tingkat hubungan ke peringkat tertinggi

Bernama
September 10, 2023 14:17 MYT
Peningkatan hubungan kepada 'perkongsian strategik yang komprehensif' lebih daripada sekadar simbolik tetapi akan mempunyai perubahan besar. - Gambar fail/Reuters
HANOI: Presiden AS Joe Biden dijangka tiba di Hanoi pada petang Ahad untuk mengukuhkan hubungan dengan Vietnam di tengah-tengah usaha mengatasi pengaruh China di rantau itu.
Semasa lawatan 24 jam itu, Biden akan bertemu empat pemimpin tertinggi Parti Komunis dan melawat sebuah monumen yang menandakan lokasi jet dinaiki John McCain ditembak jatuh pada tahun 1967 semasa serangan udara terhadap Hanoi.
Biden dan Ketua Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong akan menandatangani perjanjian untuk meningkatkan hubungan diplomatik antara dua bekas musuh kepada "perkongsian strategik yang komprehensif" - tahap tertinggi dalam hierarki diplomatik Vietnam, bersama China, Rusia, India dan Korea Selatan.
"Peningkatan hubungan kepada 'perkongsian strategik yang komprehensif' lebih daripada sekadar simbolik tetapi akan mempunyai perubahan besar," Le Dang Doanh, penasihat kanan ekonomi kepada lima perdana menteri bersara, memberitahu Agensi Berita Jerman (dpa).
"Perjanjian itu akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara dalam banyak bidang, termasuk ekonomi, perdagangan dan pertahanan, menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan serta di Asia Tenggara."
Menjelang lawatan Biden, beberapa organisasi hak asasi manusia, termasuk Human Rights Watch yang berpangkalan di New York, menggesa AS menggesa Vietnam supaya segera membebaskan semua tahanan politik dan berhenti melanggar hak asasi manusia.
--BERNAMA-dpa
#Joe Biden #Presiden Amerika Syarikat #lawatan #Vietnam
;