Biden, Jinping bincang perkukuh hubungan

Astro Awani
Julai 29, 2022 00:00 MYT
Biden dan Jinping mengadakan perbincangan secara maya. - Foto REUTERS
PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping meluangkan masa lebih dua jam berbicara menerusi telefon, bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
Perbincangan itu turut meliputi isu Taiwan yang menjadi ketegangan utama pada ketika ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Beijing, Jinping menekankan tuntutan China ke tas pulau itu yang mentadbir sendiri selama beberapa dekad.
Menurut media tempatan CCTV, kedua dua pemimpin mengadakan perbincangan telus mengenai hubungan kedua-dua hala dan isu yang menjadi perhatian bersama.
China sebelum ini turut beri amaran bahawa Washington akan menanggung akibat jika Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, berdegil meneruskan lawatan ke Taiwan.
Jinping turut memaklumkan kepada Biden bahawa Taiwan sebagai wilayahnya yang memberontak dan akan disatukan semula dengannya.
Kedua-dua pemimpin itu juga bertukar pandangan mengenai isu Ukraine, menurut CCTV, namun tidak mendedahkan maklumat lanjut.
#Xi Jinping #Joe Biden #Taiwan #mengukuhkan hubungan