Biden-Jinping bertemu, hubungan AS-China berubah?
Astro Awani
November 15, 2021 12:51 MYT
November 15, 2021 12:51 MYT
DUA pemimpin kuasa besar dunia, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping hari ini akan mengadakan pertemuan secara maya ketika mana skala hubungan Washington-Beijing semakin merosot.
Pertemuan ini, walaupun diadakan secara maya, diharap dapat memperbaiki hubungan dua gergasi dunia ini sekali gus memberikan kelegaan kepada sekutunya di rantau Asia untuk mencapai kestabilan ekonomi.
Minggu lepas di sidang kemuncak Glasgow, Scotland, kedua-dua pemimpin ini mengejutkan dunia apabila mengeluarkan kenyataan bersama yang berikrar untuk berganding tangani isu perubahan iklim.
Pertemuan ini sudah pasti diperhati dan diikuti secara rapat oleh bukan sahaja penganalisis tetapi juga sekutu Amerika dan China di rantau Asia.
Laporan menyebut, beberapa perkara akan dibangkitkan kedua-dua pemimpin berkenaan semasa sidang dua hari sehingga Selasa itu.
Antaranya, Washington akan membangkitkan isu Taiwan di mana ia mahu Beijing memberi komitmen dalam memastikan keamanan terpelihara di Selat Taiwan.
Dalam hal ini, Washington mellihat Beijing cuba mempamerkan cengkaman kekuasaannya di wilayah itu menerusi kehadiran tentera dalam jumlah yang ramai, sekali gus meningkatkan ketegangan di Taiwan.
Manakala, China pula berharap Amerika Syarikat tidak begitu beria-ia dalam mencampuri urusan yang berlaku di selat tersebut serta menyentuh hubungan mereka dengan Taiwan.
Ini kerana Beijing berpandangan, Washington sudah sedia maklum dengan status dan kedaulatan Taiwan, iaitu ia adalah wilayah yang tertakluk di bawah kuasa China.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, White House berkata, kedua-dua pemimpin pada asasnya, akan berbincang dan mencari jalan untuk menguruskan persaingan kuasa membabitkan Amerika Syarikat dan China.
"Pada masa sama, pertemuan secara maya itu juga akan berusaha mencari jalan untuk kedua-dua negara bekerja secara bersama dan menjaga kepentingan masing-masing," kata kenyataan itu.
Biden dan Jinping pernah berbual sebanyak dua kali sejak tampuk pentadbiran White House digantikan daripada Donald Trump kepada Biden sejak Januari lepas.
Kedua-dua pemimpin itu mengakui, hubungan dua hala tidak semakin baik, sebaliknya merosot hari demi hari.
Dalam satu surat kepada Jawatankuasa Kebangsaan Hubungan AS-China, minggu lepas, Jinping berkata, China sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk memulihkan hubungan kedua-dua negara.
Beliau berkata, kerjasama adalah satu-satunya pilihan untuk mengembalikan hubungan baik kedua-dua negara kembali ke landasannya.
Sebelum ini, ramai memberi persepsi bahawa Biden akan lebih bertolak-ansur dengan China kerana beliau sudah pun berkenalan dengan Jinping dan pernah melawat Beijing beberapa kali ketika memegang jawatan sebagai Naib Presiden semasa pentadbiran Presiden Barak Obama.
Persepsi itu telah mendorong ramai menyangka pentadbiran Biden akan mengikut dasar Obama yang mengutamakan dialog dengan memulihkan 'US-China Strategic and Economic Dialogue' (S&ED) yang telah ditinggalkan semasa pentadbiran Trump.
Tanpa disangka, hubungan kedua-dua negara masih belum pulih, sekalipun Biden sudah hampir setahun menduduki White House.
Hubungan kedua-dua negara ini kekal keruh apabila delegasi AS sebelum ini mengutuk China dalam isu seperti layanan buruk terhadap penduduk Uighur di Xinjiang, sekatan kebebasan di Hong Kong dan dakwaan serangan siber ke atas kepentingan AS, manakala perwakilan China telah membalas kutukan AS bahawa negara Uncle Sam itu tidak layak untuk berhujah sedemikian kepada China, dan AS bukan teladan kepada mana-mana negara.
AS sering memberi alasan bahawa pertembungan dengan China disebabkan faktor perbezaan nilai iaitu China mengamalkan sistem komunis dan autokratik, manakala AS berpaksikan kapitalisme serta demokrasi.
Di sebalik itu, walaupun AS dan China masih bersaing dalam isu politik serta ekonomi, namun mereka tetap bekerjasama dalam bidang perubahan iklim.
Selain isu Taiwan, fokus mesyuarat kedua-dua pemimpin ini menjurus kepada isu keselamatan siber, perdagangan dua hala dan usaha pelucutan senjata nuklear.