Biden izinkan Ukraine guna peluru berpandu AS di Rusia
Agensi
November 17, 2024 06:30 MYT
November 17, 2024 06:30 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan negara itu untuk menguasai Rusia, kata seorang pegawai kanan AS.
Keputusan itu dibuat ketika tentera Korea Utara telah ditempatkan untuk menyokong usaha Moscow.
Rusia telah mengerahkan hampir 50,000 tentera ke Kursk, wilayah selatan Rusia di mana Kyiv melancarkan serangan balas mengejutnya pada musim panas, untuk bersiap sedia merampas kembali wilayah itu.
Ribuan tentera Korea Utara telah dikerahkan ke Kursk sebagai sebahagian daripada serangan, mencetuskan kebimbangan Biden dan penasihatnya bahawa kemasukan mereka itu boleh membawa kepada fasa baharu yang berbahaya dalam perang.
Keputusan untuk membenarkan penggunaan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) di dalam Rusia telah dipertimbangkan selama berbulan lalu.
Pegawai Amerika dalam masa berbelah bahagi mengenai kebenaran itu.
Ada yang bimbang peningkatan perang, sementara yang lain bimbang berhubung bekalan senjata yang semakin berkurangan.
AS enggan memberikan ATACMS kepada Ukraine pada dua tahun pertama perang, sebahagiannya kerana bimbang peluru berpandu memerlukan masa dan komponen kompleks untuk dihasilkan.
Tetapi Biden secara rahsia meluluskan pemindahan peluru berpandu ATACMS jarak jauh pada Februari lalu untuk digunakan di dalam wilayah Ukraine dan AS membekalkannya selang dua bulan selepas itu.
Presiden Ukraine, Volodomyr Zelensky telah mendesak Washington untuk membenarkan penggunaan senjata di dalam Rusia juga, dengan alasan beliau memerlukan keupayaan untuk mendapatkan momentum dalam usaha perangnya.
Apabila Biden dan Zelensky kali terakhir bertemu di White House pada September, pemimpin Ukraine itu membawa bersama senarai terperinci sasaran di dalam Rusia yang ingin ditembusinya dengan peluru berpandu jarak jauh yang disediakan AS, menurut sumber.
Senarai itu merupakan sebahagian penting daripada "rancangan kemenangan" Zelensky dalam perang.
Sejak tiga tahun, Biden melarang Ukraine daripada menggunakan sistem peluru berpandu dalam menyerang Rusia, namun, tidak sepenuhnya menolak permintaan itu, kata sumber.
Ukraine telah melakukan beberapa serangan jarak jauh yang berjaya di dalam Rusia dengan menggunakan dron mereka sendiri yang telah merosakkan pangkalan industri pertahanan Rusia, kata pegawai AS - dron yang mempunyai jarak yang jauh lebih panjang daripada ATACM.
Pegawai AS juga berkata, Rusia turut memindahkan beberapa sasarannya yang paling berharga di luar jarak 180 batu ATACMS
Bagaimanapun, pihak Ukraine mendakwa, terdapat banyak aset Rusia dalam jangkauan, termasuk pangkalan tentera dan kemudahan pengeluaran dan logistik.
AS dan sekutunya telah berusaha untuk memastikan Ukraine memperoleh apa yang diperlukan sehingga penghujung tahun 2025.
Presiden AS yang terpilih, Donald Trump telah berulang kali mendakwa, perang Ukraine-Rusia tidak akan bermula jika beliau menjadi ketua komander.
Zelensky pada Jumaat berkata, perang "akan berakhir dengan lebih cepat dengan dasar pasukan ini yang kini akan mengetuai White House," merujuk kepada pentadbiran Trump yang akan datang.
Trump telah berkata, beliau boleh menyelesaikan perang dalam satu hari, tanpa memberitahu bagaimana akan berbuat demikian.
Keizinan Biden diperoleh selepas Jabatan Negara AS pada Selasa lalu berkata, 10,000 askar Korea Utara telah dihantar ke Rusia dan "telah mula terlibat dalam operasi pertempuran dengan tentera Rusia" di wilayah Kursk, di mana pencerobohan tentera Ukraine selama tiga bulan telah terhenti.
Seorang komander Ukraine sebelum ini memberitahu CNN, tentera Korea Utara adalah "sumber penting" untuk perang Moscow ke atas Ukraine, malah mereka yang dikerahkan secara pertahanan akan membebaskan tentera Rusia untuk operasi serangan di tempat lain dan akhirnya akan digunakan dalam pertempuran langsung. - Agensi