Biden gesa siasatan bebas berhubung insiden tembakan Trump

Bernama
Julai 15, 2024 12:20 MYT
Menurut Biden, beliau telah mengarahkan Perkhidmatan Rahsia untuk menyemak semua langkah keselamatan bagi Konvensyen Nasional Republikan, yang dijadualkan bermula Isnin di Milwaukee. - Gambar/ AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyeru agar rakyat negara itu bersatu susulan cubaan membunuh terhadap Donald Trump dan menyatakan siasatan mengenai kejadian tembakan pada Sabtu itu sedang dijalankan, lapor United Press International (UPI).
"Malam tadi, saya bercakap dengan Donald Trump. Saya amat bersyukur kerana beliau berada dalam keadaan baik. Kami berbual ringkas tetapi baik," kata Biden dalam ucapan dari Rumah Putih pada Ahad.
Sebagai bekas presiden dan calon Republikan untuk pemilihan 2024, Biden berkata Trump menerima tahap keselamatan yang tinggi daripada Perkhidmatan Rahsia dan itu akan diteruskan.
Menurut Biden, beliau telah mengarahkan Perkhidmatan Rahsia untuk menyemak semua langkah keselamatan bagi Konvensyen Nasional Republikan, yang dijadualkan bermula Isnin di Milwaukee.
Beliau turut menggesa siasatan bebas terhadap keselamatan di perhimpunan di Pennsylvania pada Sabtu di mana Trump ditembak dan cedera semasa ucapannya dengan seorang peserta perhimpunan terbunuh dan dua lagi cedera.
Perkhidmatan Rahsia memuat naik video di media sosial menunjukkan Trump berjalan turun dari tangga pesawat kempen beliau tanpa bantuan.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Kes Tembak #hasil siasatan #Joe Biden