Biden gesa jeda peperangan selama enam minggu di Gaza
Agensi
Februari 13, 2024 11:20 MYT
Februari 13, 2024 11:20 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menggesa jeda peperangan selama enam minggu di Gaza sebagai batu loncatan ke arah gencatan senjata yang lebih lama.
Presidennya, Joe Biden berkata, pentadbirannya sedang bekerjasama dengan sekutu di rantau itu untuk perjanjian bagi menghentikan pertempuran, membebaskan tebusan dan peningkatan aliran bantuan kemanusiaan.
Biden berkata demikian dalam pertempuannya dengan Raja Jordan, Abdullah di White House, pada Selasa.
Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai cabaran dihadapi termasuk serangan darat Israel di selatan Gaza dan ancaman bencana kemanusiaan di kalangan orang awam Palestin.
Biden sebelum ini menunjukkan kegusaran yang semakin meningkat apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanayhu tidak mengedahkan nasihatnya.
Menurut Biden, perjanjian itu akan bermula dengan jeda dalam pertempuran sekurang-kurangnya enam minggu yang kemudiannya membolehkan masa diambil untuk membina sesuatu yang lebih bertahan.
"Seperti yang dibincangkan Raja Abdullah dan saya hari ini, Amerika Syarikat sedang mengusahakan perjanjian antara Israel dan Hamas yang akan membawa tempoh tenang serta-merta dan berterusan ke Gaza selama sekurang-kurangnya enam minggu, yang kemudiannya kita boleh meluangkan masa untuk membina sesuatu yang lebih berkekalan.
"Sepanjang bulan lalu, saya telah mengadakan panggilan dengan Perdana Menteri Netanyahu, serta pemimpin Mesir dan Qatar untuk meneruskan perkara ini.
"Elemen utama perjanjian itu ada di atas meja. Terdapat jurang yang kekal, tetapi saya menggalakkan pemimpin Israel untuk terus berusaha untuk mencapai perjanjian itu. Amerika Syarikat akan melakukan segala yang mungkin untuk merealisasikannya," tegas Presiden Biden lagi.
Dalam sidang media sama, Raja Abdullah memperbaharui rayuannya untuk gencatan senjata yang lebih meluas.
“Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan perkara ini berterusan. Kita perlukan gencatan senjata yang berkekalan sekarang. Perang ini mesti berakhir," kata Raja Abdullah.
Pertemuan itu diadakan ketika Biden semakin lantang dalam tuntutannya supaya Israel tidak melakukan serangan darat di bandar Rafah, selatan Gaza tanpa rancangan untuk melindungi orang awam Palestin.
Sebelum memulakan lawatan ke ibu kota Barat itu, Raja Abdullah mengambil bahagian dalam penyerahan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Kementerian Kesihatan Palestin menganggarkan lebih 28,000 orang di Gaza telah terbunuh dalam pertempuran antara Israel dan pasukan pejuang Hamas. - Agensi