Biden gesa Hamas terima gencatan senjata menjelang Ramadan

Agensi
Mac 6, 2024 08:00 MYT
Kanak-kanak Palestin menunggu giliran untuk menerima makanan yang dimasak ketika konflik berterusan antara Israel dan Hamas berterusan, di Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. - Gambar REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyeru Hamas untuk menerima perjanjian gencatan senjata Gaza menjelang bulan suci Ramadan.
Dalam perkembangan sama, pasukan pejuang Palestin itu memberi amaran bahawa rundingan untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan tidak boleh diteruskan "selama-lamanya."
Ketika kebuluran mengancam penduduk Gaza, pesawat AS dan Jordan sekali lagi menggugurkan bantuan makanan ke wilayah yang dikepung 2.4 juta orang dalam operasi bersama dengan Mesir dan Perancis.
Di Kaherah, utusan AS dan Hamas bertemu pengantara Mesir dan Qatar dalam rundingan berlarutan untuk menamatkan pertempuran dan membebaskan tebusan sebelum Ramadan bermula pada 10 atau 11 Mac ini.
Saluran berita Al-Qahera Mesir yang memetik sumber perkhidmatan perisikan negara itu, berkata, rundingan tersebut "berlanjutan" dan akan diteruskan untuk hari keempat berturut-turut pada Rabu.
Pihak di Mesir - setakat ini tidak termasuk Israel - telah membincangkan rancangan untuk gencatan senjata selama enam minggu, pertukaran puluhan tebusan untuk ratusan tahanan Palestin dan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Biden memberi amaran kepada Hamas supaya bersetuju dengan gencatan senjata Gaza menjelang Ramadan, selepas diplomat tertingginya, Antony Blinken, menggesa ia menerima "gencatan senjata serta-merta."
"Ia (keputusan) berada di tangan Hamas sekarang," kata Presiden AS itu kepada pemberita.
"Mesti ada gencatan senjata kerana Ramadan - jika kita menghadapi keadaan di mana ini berterusan hingga Ramadan, Israel dan Baitulmaqdis boleh menjadi sangat, sangat berbahaya."
Beliau tidak mengulas lanjut, tetapi Amerika Syarikat minggu lalu menggesa Israel membenarkan umat Islam beribadat di perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada bulan Ramadan.
Kerajaan Israel kemudian berkata, ia akan membenarkan jemaah Islam untuk mengakses Al-Aqsa semasa Ramadan "dalam jumlah yang sama dengan tahun-tahun sebelumnya." - Agensi
#Perang Palestin-Israel #gencatan senjata #Joe Biden #Hamas
;