Biden gesa gencatan senjata di Lubnan
Astro Awani
Oktober 1, 2024 08:00 MYT
Oktober 1, 2024 08:00 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa gencatan senjata dikuatkuasa di Lubnan dengan segera.
Bagaimanapun, seorang pegawai AS mendedahkan penempatan tentera Israel memberi gambaran bahawa pencerobohan darat terhadap pejuang Hezbollah mungkin akan berlaku.
Ditanya mengenai laporan tentera darat Israel sedang bersiap sedia untuk bergerak ke selatan Lubnan, Biden hanya berkata, beliau lebih selesa sekiranya Israel berhenti.
Beberapa pembantu utama mengukuhkan gesaan Biden untuk gencatan senjata dengan menggesa resolusi diplomatik terhadap keganasan.
Ini bagi membenarkan berpuluh-puluh ribu warga Israel dan Lubnan yang kehilangan tempat tinggal pulang ke rumah mereka di sepanjang sempadan.
Sementara itu, Setiausaha Negara Antony Blinken berkata, Washington akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi di rantau itu dan di seluruh dunia untuk memajukan resolusi diplomatik.
Tetapi seorang pegawai AS berkata, kedudukan tentera Israel memberi gambaran pencerobohan darat ke Lubnan mungkin akan berlaku.
Bagaimanapun, pegawai itu enggan mengulas lanjut atau memberikan butiran mengenai kedudukan tentera Israel.