Biden beri bayangan dasar luar lebih terbuka
Astro Awani
Februari 4, 2021 06:28 MYT
Februari 4, 2021 06:28 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memberi bayangan AS akan mengamalkan dasar luar yang lebih terbuka.
Bercakap menerusi kenyataan yang dibuat selepas melawat Jabatan Negara AS di Washington DC pada Khamis, Biden berkata, diplomasi akan menjadi asas kepada dasar luar pentadbirannya.
Ia simbolik kepada dasar luar yang menjadi keutamaan beliau, yang turut menyebut bahawa Diplomat AS adalah 'Wajah Amerika' dan 'Amerika sudah kembali'.
“Anda yang ditugaskan di luar negara adalah wajah Amerika. Anda adalah cerminan negara ini di mata orang luar. Amerika sudah kembali. Diplomasi menjadi asas dasar luar kita.
"Seperti yang dinyatakan dalam ucapan angkat sumpah, kami akan memulihkan hubungan dengan sekutu, demi untuk mengatasi cabaran hari ini dan esok.
“Pentadbiran Amerika mesti memenuhi detik baharu autoritarian yang semakin maju, termasuk cita-cita tinggi China untuk menyaingi AS dan keazaman Rusia untuk mengganggu demokrasi.
“Kita mesti memenuhi detik baharu cabaran dari pandemik ke krisis iklim hinggalah kawalan nuklear.
"Cabaran yang hanya boleh diselesaikan dengan bekerjasama dalam asas yang sama. Kita tidak boleh melakukannya secara bersendirian,” katanya.
Dalam ucapan pertama dasar luar Biden, beliau memberikan tumpuan kepada isu di Myanmar, Rusia serta hubungan dengan China.
Mengenai Myanmar, Biden mendesak supaya junta menyerahkan kembali pentadbiran negara itu kepada kerajaan awam.
Biden juga menegaskan akan menangani isu campur tangan Rusia dalam pilihan raya Amerika serta serangan siber.
Beliau juga menegaskan akan berbincang dengan China perihal isu ekonomi.
#AS
#China
#Myanmar
#Joe Biden
#serangan siber
#pandemik
#Amerika Syarikat
#ekonomi
#kerajaan
#Rusia
#dasar luar