Biden bakal terima kunjungan Presiden Filipina pada 1 Mei - White House

Bernama
April 21, 2023 16:44 MYT
Biden akan membincangkan isu serantau dan berkaitan penyelarasan usaha menegakkan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. -AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand "Bongbong" Romualdez Marcos Junior, lapor Sputnik, memetik Setiausaha Akhbar White House Karine Jean- Pierre pada Khamis.
Presiden Filipina itu akan mengadakan lawatan rasmi ke Washington pada 1 Mei dan kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala di White House.
"Semasa lawatan itu, Presiden Biden akan mengesahkan komitmen AS terhadap pertahanan Filipina, dan pemimpin akan membincangkan usaha untuk mengukuhkan pakatan AS-Filipina yang telah lama terjalin," kata Jean-Pierre dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan pelbagai perkara antaranya mengenai peluang untuk memperdalam kerjasama ekonomi, pelaburan dalam peralihan tenaga bersih, memerangi perubahan iklim dan isu berkaitan hak asasi manusia.
Presiden Biden juga akan membincangkan isu serantau dan berkaitan penyelarasan usaha menegakkan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
-- BERNAMA
#Joe Biden #perubahan iklim #isu serantau #Ferdinand Bongbong Romualdez Marcos Junior
;