Biden alami gejala COVID-19 ringan, ambil ubat antiviral

Bernama
Julai 19, 2024 10:50 MYT
Biden didapati tidak mengalami demam dan tanda vitalnya kekal normal. - Foto fail/BERNAMA
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden terus mengalami gejala "ringan" selepas disahkan positif COVID-19 dan sedang mengambil ubat antiviral Paxlovid, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan doktornya pada Khamis.
Kevin O'Connor berkata gejala yang dialami presiden itu mempengaruhi sistem pernafasannya dan dalam memo lima ayat menyatakan bahawa Biden "tidak mengalami demam dan tanda vitalnya kekal normal."
"Beliau akan terus menjalankan tugas untuk rakyat Amerika," catatnya.
"Dengan kebenaran presiden, saya akan terus memberikan kemas kini secara berkala, seperti yang telah dilakukan sebelum ini."
White House mengesahkan pada Rabu bahawa Biden diuji positif semasa berkempen di Las Vegas, Nevada.
Diagnosis Biden diumumkan oleh presiden sebuah kumpulan advokasi hak sivil Latin yang sepatutnya Biden berucap pada Rabu.
Ucapan tersebut dibatalkan tetapi Biden menghadiri satu acara kempen di Restoran Original Lindo Michoacan di Las Vegas, apabila beliau bertemu dan mengambil swafoto dengan pengunjung.
Beliau juga ditemu bual oleh penyiar berbahasa Sepanyol, Univision.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Joe Biden #White House #antiviral
;