Biden akan tarik diri jika doktor dedahkan ada masalah kesihatan

Bernama
Julai 17, 2024 10:40 MYT
Biden sebelum ini berkata keadaan kesihatannya tidak memerlukan pemeriksaan tambahan, tetapi beliau bersedia jika doktor memintanya. - Reuters
MOSCOW: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata dalam satu temu bual dengan BET News bahawa beliau akan menarik diri daripada Pilihan Raya Presiden jika doktor mendedahkan beliau mempunyai masalah kesihatan, lapor Sputnik.
Biden sebelum ini berkata keadaan kesihatannya tidak memerlukan pemeriksaan tambahan, tetapi beliau bersedia jika doktor memintanya.
"Jika saya mempunyai sebarang keadaan perubatan yang timbul, jika seseorang - jika doktor datang kepada saya dan berkata 'anda ada masalah ini, masalah itu'," kata Biden, menjawab tentang apa yang boleh membuatnya meninggalkan perlumbaan.
Petikan daripada temu bual BET News, yang dijadualkan disiarkan pada pukul 10 malam ET pada 17 Julai (0200 GMT pada 18 Julai), disediakan oleh CBS News.
Presiden percaya bahawa satu-satunya perkara yang dibawa oleh usia adalah kebijaksanaan.
Terdapat peningkatan suara dalam kalangan Demokrat untuk mencalonkan calon lain bagi menggantikan Biden selepas kegagalannya dalam debat dengan calon Republikan Donald Trump.
Secara teori, parti akan mempunyai peluang sedemikian pada kongres pada bulan Ogos, tetapi dalam amalannya, akan menjadi sukar untuk mengeluarkan calon yang memenangi pemilihan awal daripada perlumbaan jika beliau tidak menolak untuk turut serta.
Pada masa yang sama, Biden mengatakan beliau berhasrat untuk kekal dalam perlumbaan.
Debat kedua Biden-Trump dijadualkan pada 10 September. Pilihan Raya Presiden AS akan berlangsung pada 5 November.
-- BERNAMA
#Joe Biden #pilihan raya presiden #Amerika Syarikat #masalah kesihatan