Biden akan sampaikan ucapan kepada negara pada Rabu selepas tarik diri pilihan raya presiden

Bernama
Julai 23, 2024 16:38 MYT
Presiden Joe Biden berkata pada Selasa bahawa beliau akan berucap kepada negara pada Rabu selepas menarik diri daripada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS). - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Presiden Joe Biden berkata pada Selasa bahawa beliau akan berucap kepada negara pada Rabu selepas menarik diri daripada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).
"Malam esok pada pukul 8 malam ET, saya akan berucap kepada negara dari Pejabat Oval mengenai apa yang akan datang dan bagaimana saya akan menyelesaikan tugas untuk rakyat Amerika," lapor Agensi Anadolu yang memetik tulisan Biden di platform X.
Biden mengumumkan keputusannya pada Ahad untuk tidak bertanding semula pada 5 Nov dan menawarkan "sokongan penuh dan endorsemen" kepada Naib Presiden Kamala Harris untuk menjadi calon Parti Demokrat.
Lebih 2,200 perwakilan dari lebih 30 negeri telah menyokong Harris, menurut laporan.
Keputusan Biden untuk menyokong Harris tidak mengikat, kerana delegasi bebas untuk mengundi calon pilihan mereka.
Konvensyen Kebangsaan Demokrat akan diadakan di Chicago dari 19 hingga 22 Ogos.
-- BERNAMA
#Joe Biden #Presiden Amerika Syarikat #ucapan kepada negara #pilihan raya presiden