AS berulang kali tekankan keamanan Ukraine lebih penting daripada jaminan keselamatan

Bernama
Mac 3, 2025 12:50 MYT
Rubio berkata, AS berulang kali menjelaskan kepada Ukraine bahawa usaha mencapai keamanan adalah lebih penting daripada jaminan keselamatan. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berulang kali menjelaskan kepada Ukraine bahawa usaha mencapai keamanan adalah lebih penting daripada jaminan keselamatan, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
"Jaminan keselamatan, yang saya lebih suka sebut sebagai pencegahan konflik, hanya boleh dipertimbangkan jika wujud keamanan.
"Semua orang bercakap tentang 'jaminan keselamatan untuk memastikan keamanan'--tetapi anda perlu memperoleh keamanan terlebih dahulu.
"Kita tidak tahu sama ada keamanan itu boleh dicapai. Perkara ini telah dijelaskan berkali-kali kepada pihak Ukraine, dan itulah strategi kami," katanya dalam temu bual bersama penyiar ABC News.
Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin dalam mesyuarat bersama anggota tetap Majlis Keselamatan Rusia pada Januari lalu menegaskan bahawa penyelesaian konflik di Ukraine tidak seharusnya sekadar gencatan senjata sementara untuk membolehkan penyusunan semula dan pembekalan senjata dengan niat meneruskan konflik pada masa hadapan.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa keamanan jangka panjang perlu dicapai.
Pihak berkuasa Rusia akan terus berjuang demi kepentingan rakyatnya, dan ini adalah matlamat operasi khas yang dijalankan, kata Putin.
Beliau turut menegaskan bahawa keamanan di Ukraine harus berasaskan kepada "penghormatan terhadap kepentingan sah semua rakyat dan semua bangsa yang tinggal di rantau ini."
-- BERNAMA
#Ukraine #Amerika Syarikat #Marco Rubio #jaminan keselamatan
;