Beruang sesat cetus kekecohan, serang orang awam dan anggota tentera

Agensi
Jun 19, 2021 08:11 MYT
Beruang sesat ini mencetuskan kekecohan apabila ia menyerang beberapa orang awam dan anggota tentera di Sapporo, Jepun. -AP
SAPPORO: Seekor beruang sesat mencetuskan kekecohan apabila ia menyerang beberapa orang awam dan seorang anggota tentera di Sapporo, Jepun.
Haiwan itu sebelumnya dilihat berkeliaran sebelum ia bertindak mengejar sebuah kereta dan melintas jalan yang sibuk.
Menurut media tempatan, beruang itu menyerang seorang askar yang bertugas di Kem Pertahanan Diri di Okadama.
Ia juga cuba merosakkan pagar berek tentera menyebabkan sistem penggera keselamatan berbunyi di bandar Sapporo.
Kejadian itu mengakibatkan sekolah terpaksa ditutup dan beberapa penerbangan dibatalkan.
Kesemua mangsa yang cedera berusia 40-an, 70-an dan 80-an itu telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Beruang itu difahamkan kemudian ditembak mati pada Jumaat.
Terdahulu, pihak berkuasa ada memberi amaran kepada orang awam supaya berwaspada susulan penemuan beruang tersebut yang dipercayai terlepas ke bandar untuk mencari makanan.
#sekolah #penerbangan #Sapporo #beruang #serang #mengganas #ditembak mati #askar #Jepun
;