Beruang hitam 226kg masuk senarai 'wanted' gara-gara pecah masuk kediaman
Astro Awani
Februari 20, 2022 17:12 MYT
Februari 20, 2022 17:12 MYT
MUNGKIN selama ini anda hanya mendengar kisah 'penjenayah' atau individu yang menjadi buruan pihak berkuasa atau disenaraikan sebagai 'wanted' sahaja, tetapi kali ini ceritanya sedikit berbeza.
Insiden 'pelik' ini berlaku di Tahoe Keys, California, Amerika Syarikat apabila seekor beruang hitam seberat 500 paun (226 kilogram) diburu pihak berkuasa selepas menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Memetik laporan CNN, Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar California (CDFW) berkata dalam tempoh tujuh bulan, haiwan itu menyebabkan kerosakan teruk di 33 hartanah dan menceroboh sekurang-kurangnya 28 buah rumah.
Bagaimanapun, tiada sebarang serangan terhadap manusia atau haiwan peliharaan dilaporkan.
Jelas jurucakap CDFW, Peter Tira, pihak polis South Lake Tahoe telah menerima aduan daripada lebih 100 individu mengenai haiwan itu.
Malah, jabatan tersebut telah menjejaki beruang hitam itu sejak musim bunga tahun lalu.
"Insiden itu berlaku terutamanya pada musim panas dan musim luruh 2021 apabila beruang itu mengalami hyperphagia, dan menambah kalori untuk bertahan pada musim sejuk," kata Tira.
Hyperphagia, menurut Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (AS) menyebabkan beruang makan dan minum tanpa henti ketika musim luruh sebagai persediaan untuk hibernasi (tidur sepanjang musim sejuk bagi sesetengah haiwan).
Dalam perkembangan sama, CDFW menambah, beruang hitam itu telah hilang rasa takut terhadap orang ramai dan mengaitkan kehadiran orang ramai dengan akses kepada makanan.
Saiz haiwan itu yang besar juga membantu ia memecah masuk ke dalam rumah.
Setakat ini, CDFW sedang giat mengesan keberadaan beruang hitam itu selepas lokasi terakhir dilaporkan dilihat di Tahoe Keys.