Bertapa dalam hutan, lelaki ini tidak berbicara selama hampir tiga dekad
Agensi
Julai 17, 2019 07:20 MYT
Julai 17, 2019 07:20 MYT
Seorang lelaki yang berasal dari Maine, Amerika Syarikat tidak pernah bosan tinggal di dalam hutan selama 27 tahun dan tidak berbicara dengan sesiapa pun dalam tempoh hampir tiga dekad.
Pada tahun 1986, Christopher Knight yang ketika itu berusia 20 tahun memandu ke arah hutan di luar Maine sebelum meninggalkan kenderannya dan memasuki hutan.
Knight hanya membawa beberapa barang keperluan penting untuk berkhemah dan tidak lagi keluar dari hutan itu selama 27 tahun.
Lelaki itu menemukan sebuah kawasan kecil yang terbuka di dalam hutan tebal di North Pond.
Mendirikan khemah dan menggantung kain tebal antara pokok untuk tempat tinggal, kedudukan Knight nyata tersembunyi meskipun hanya perlu berjalan kaki beberapa minit untuk ke kabin musim panas berhampiran.
Knight hanya bertahan untuk hidup dengan cara memasuki kabin dan mencuri beberapa jenis barang yang diperlukan antaranya makanan, minyak masak, pakaian, kasut dan buku yang banyak.
Walaupun tidak melakukan sebarang kerosakan, tindakan mencuri yang dilakukan Knight lebih daripada 1,000 kali menimbulkan tanda tanya pemilik kabin.
Nasib Knight kurang baik apabila dia akhirnya ditangkap polis sebelum dikenakan hukuman penjara selama tujuh bulan atas kesalahan mencuri.
Sepanjang tempoh itu, dia hanya ingin bercakap dengan seorang individu iaitu Mike Finkel yang merupakan seorang penulis buku.
Finkel menulis bukunya bertajuk, ‘The Stranger in the Woods: The Extraordinary Story of the Last True Hermit”.
“Mengapa anda meninggalkan dunia dan hidup seorang diri di dalam hutan? Adakan anda melakukan kesalahan? Malu kepada masyarakat?,” soal Finkel menerusi laporan BBC.
Knight memberitahu dorongan untuk dia menyendiri adalah kerana berseorangan memberinya kebahagiaan dan ketenangan.
“Di zaman media sosial yang menggila, dia adalah satu-satunya individu yang tidak mahu dilihat atau diketahui lokasinya.
“Dia tidak pernah memiliki kamera atau diari. Dia inginkan kehidupan yang rahsia. Dia mahu mati di dalam hutan. Dia tidak pernah bosan hidup sebegitu dalam masa 27 tahun,” ujar Finkel.
#Amerika Syarikat
#Christpher Knight
#dekad
#hutan
#Khemah
#penjara
#polis
#The Stranger in the Woods
#tinggal bersendirian
#tinggal dalam hutan