Bertahan dengan sos tomato di lautan, syarikat Heinz mohon bantuan jejaki kelasi ini
Astro Awani
Februari 26, 2023 12:30 MYT
Februari 26, 2023 12:30 MYT
NEW YORK: Syarikat pemprosesan makanan, Heinz kini dalam proses menjejaki seorang kelasi yang selamat selepas hilang berminggu di laut pada Januari lalu.
Memetik CNN, ini kerana lelaki bernama Elvis Francois dilaporkan berjaya bertahan di tengah lautan dengan bantuan sos tomato keluaran syarikat itu.
Dalam pada itu, Heinz juga telah meluaskan pencarian di sosial media pada bulan ini dengan harapan dapat menjejaki kelasi berasal dari Dominica termasuk tentera laut Colombia yang menyelamatkan Francois.
Heinz dalam satu kenyataan memaklumkan pencarian kelasi yang hilang di barat laut Puerto Bolivar Colombia setakat ini belum berjaya.
Menurut satu kenyataan yang dikongsi dengan CNN melalui e-mel, syarikat ini turut meminta bantuan orang ramai memberi info mengenai keberadaan Francois.
"Kami juga meminta mana-mana petunjuk yang boleh dipercayai untuk menghubungi Elvis supaya kami boleh membantu menampung bot baharu yang dilengkapi dengan teknologi navigasi penuh untuk mengelakkan bencana lain pada masa hadapan," tambah syarikat itu.
Dalam pada itu, Heinz juga mencadangkan pengguna media sosial menggunakan tanda pagar #FindTheKetchupBoatGuy dalam pencarian mereka.
Terdahulu, Francois yang sedang membaiki botnya berhampiran bahagian Belanda di pulau Saint Martin pada Disember hilang di lautan selepas botnya hanyut.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu pihak berkuasa Colombia dia tidak mempunyai pengetahuan pelayaran untuk kembali ke pantai dan menghabiskan 24 hari di laut malah berjaya hidup dengan sebotol sos tomato, serbuk bawang putih, dan kiub stok Maggi yang dibancuh dengan air.
Menurut pihak berkuasa Colombia, Francois diselamatkan selepas sebuah pesawat melihat tulisan “bantuan” terukir di bot.