Berpuluh terbunuh akibat pertempuran etnik di Manipur, India
Bernama
Mei 6, 2023 19:43 MYT
Mei 6, 2023 19:43 MYT
NEW DELHI: Pertempuran etnik sejak beberapa hari lalu di Manipur, India yang bersempadan dengan Myanmar telah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa, lapor media tempatan pada Sabtu.
Tentera India telah mengerah pasukan tambahan untuk menjaga keamanan, susulan ketegangan antara etnik menyebabkan pembakaran dan pembunuhan semakin berleluasa.
Beribu-ribu orang telah melarikan diri ke tempat yang lebih selamat.
Ketegangan memuncak selepas mahkamah tinggi mengarahkan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan agar komuniti Meitei diberi status "Scheduled Tribe", lalu ditentang hebat oleh etnik lain yang membentuk kira-kira 40 peratus penduduk dan dikhuatiri menjejaskan hak mereka.
"Hampir 10,000 askar dari Tentera Darat dan Assam Rifles telah dikerahkan ke negeri itu sejak pertempuran meletus pada Rabu," lapor agensi berita PTI.
Angka kematian kini mencecah 54 orang.
Video yang tersebar di media sosial memaparkan bangunan dan kenderaan terbakar manakala gereja turut rosak.
Ketua menterinya N. Biren Singh menerusi catatan di media sosial pada Khamis berkata keganasan di ibu negara Imphal dan daerah lain terjadi akibat "salah faham antara dua kumpulan masyarakat."
-- BERNAMA