Bermula Ogos, guru di Singapura wajib bayar caj parkir kereta dan motosikal di sekolah

Agensi
Mac 27, 2018 17:45 MYT
Pengumuman tentang caj parkir bagi guru di sekolah menerima pelbagai reaksi oleh orang awam. - Gambar fail
Golongan guru di Singapura perlu membayar kadar parkir bulanan jika mereka mahu meletakkan kenderaan di kawasan sekolah bermula Ogos ini, kata Kementerian Pendidikan republik itu.
Dalam pengumuman yang mencetus pelbagai reaksi itu, kadar bayaran bulanan parkir kereta di sekolah adalah sebanyak S$75 (RM222) bagi ruang terbuka, manakala S$100 (RM296) bagi yang berbumbung.
Kadar bayaran tahunan pula adalah S$720 (RM2,133) bagi ruang terbuka, manakala S$960 (RM2,844) bagi tempat parkir berbumbung.
Bagi guru yang membawa motosikal pula, kadar bayaran bulanan S$13 (RM38.50) dikenakan bagi ruang terbuka manakala S$14 (RM41.50) bagi kawasan berbumbung. Bayaran tahunan pula adalah S$123 (RM364.50) di ruang terbuka dan S$135 (RM400) bagi kawasan berbumbung.
Kementerian Pendidikan Singapura berkata, kadar yang berbeza akan diperkenalkan bagi penggunaan parkir di luar penggal persekolahan, lapor portal berita Channel NewsAsia.
Kementerian itu juga menyatakan caj yang dikuatkuasakan di seluruh sekolah di republik itu adalah adil untuk guru, selain dilaksanakan untuk ‘memudahkan urusan pentadbiran’.
Ketika pelaksanaan caj parkir itu baru dicadangkan oleh kementerian itu pada tahun 2016, idea tersebut langsung tidak disambut baik oleh guru-guru dan orang awam.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Pritam Singh dari Parti Pekerja menzahirkan pendiriannya menentang polisi baharu itu.
“Sesetengah profesion dan perkhidmatan sektor awam – termasuk guru-guru – mestilah dilihat oleh kerajaan Singapura sebagai golongan yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan negara.
“Saya menentang pelaksanaan mengenakan bayaran bagi guru-guru yang membawa kereta atau motosikal,” tegasnya.
Sementara itu, bermula 1 April, Singapura akan mula mengutip bayaran untuk ruang parkir di enam lagi kem dan pangkalan tentera negara itu. Ia adalah keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan republik berkenaan.
#Bantahan #caj parkir #Kementerian Pendidikan #motosikal #parkir kereta #Singapura #yuran tahunan
;