Berlian Farnese yang penting dalam sejarah Eropah akhirnya dilelong

Agensi
April 6, 2018 20:14 MYT
Berlian Farnese diperturunkan kepada lebih tujuh generasi, apabila waris-waris mengahwini keluarga diraja Eropah. - Reuters
Berlian biru Farnese yang sangat penting dalam sejarah Eropah, dan selama ini diwariskan dalam susur-galur keluarga diraja selama 300 tahun, akhirnya akan dilelong buat kali pertama pada bulan depan.
Perkara itu disahkan oleh syarikat pengendali lelongan Sotheby’s, lapor Reuters.
Dianggarkan mencapai harga lelongan antara AS$3.7 hingga AS$5.3 juta, berlian 6.1 karat dengan warna kelabu kebiruan itu diperoleh dari lombong berlian Golconda di India.
Pada awalnya, ia diberikan kepada Elisabeth Farnese, iaitu anak perempuan Duke of Parma pada tahun 1715 ketika dia mengahwini Philip V dari Sepanyol.
Ia kemudiannya diperturunkan kepada lebih tujuh generasi, apabila waris-waris mengahwini keluarga diraja Eropah.
Berlian itu telah ‘mengembara’ dari Sepanyol ke Perancis, seterusnya ke Itali dan Austria.
“Selama ini, ia disimpan secara rahsia dalam kotak barangan kemas diraja. Tiada siapa yang tahu kewujudannya kecuali saudara-mara teerdekat dan tukang pembuat barangan kemas diraja,” ujar jurucakap Sotheby's.
Batu permata itu akan dipamerkan kepada pembida dalam sesi lelongan pada 15 Mei nanti.
#berlian #eropah #farnese #farnese blue #lelong #Permata #sejarah
;