AS berjaya bawa pulang Brittney Griner, pertukaran banduan dengan 'Saudagar Kematian'
Agensi
Disember 9, 2022 21:32 MYT
Disember 9, 2022 21:32 MYT
PEMAIN bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Brittney Griner yang dikenakan hukuman penjara di Rusia dibawa pulang ke negara asalnya pada Jumaat.
Ia sebagai pertukaran dengan pembebasan pedagang senjata Rusia, Viktor Bout selepas melalui proses rundingan yang agak tegang sebelum ini.
Pertukaran Griner yang hampir 10 bulan berada dalam tahanan Rusia atas tuduhan memiliki dadah dengan Bout yang digelar sebagai ‘Saudagar Kematian’ dibuat di lapangan terbang Abu Dhabi.
Ini menggambarkan bahawa matlamat Presiden AS, Joe Biden bagi memastikan pembebasan Briner yang ditahan pada Februari lepas sehingga mencetuskan kontroversi, tercapai.
Bagaimanapun, pentadbiran Biden gagal membebaskan seorang lagi warga Amerika, Paul Whelan, seorang bekas anggota marin yang telah dipenjarakan selama hampir empat tahun di Rusia.
Griner merupakan pemenang dua kali pingat emas Olimpik dan bintang profesional bola keranjang bagi pasukan Phoenix Mercury.
Dia dituduh memiliki kartrij vape dengan kuantiti cecair ganja yang kecil dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun pada Ogos.
Manakala Bout, sebelum ini dituduh membekalkan senjata kepada pemberontak dalam beberapa konflik paling berdarah di dunia, ditahan dalam operasi AS di Thailand pada 2008, diekstradisi ke AS dan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun pada 2012.