Berita Elon Musk hasilkan Robot Isteri palsu

Sinar Harian
Mei 20, 2023 11:30 MYT
Wartawan France24, Vedika Bahl menerusi segmen semakan fakta mengesahkan bahawa artikel berkenaan adalah palsu dan direka oleh AI.
PARIS: Satu laporan berita kononnya Elon Musk dan syarikatnya sedang berada di peringkat akhir dalam pengeluaran produk humanoid Isteri Robot kini dikongsi secara meluas di media sosial.
Laporan itu menyebut bahawa pengeluaran Isteri Robot bakal dilancarkan pada September ini dan ia dijangka memasuki pasaran benua Afrika menjelang November 2023.
Tambah laporan itu, Isteri Robot dijana menggunakan bateri yang mampu bertahan mengikut kitaran haid.
"Bateri hanya perlu dicas selama 72 jam dan beroperasi selama sebulan. Kata laluan, corak atau cap jari diperlukan setiap kali pengguna berinteraksi dengan Isteri Robot," menurut laporan tersebut.
Bagaimanapun, bahagian semakan fakta portal berita France24 mengesahkan artikel tersebut sebenarnya adalah palsu.
Menurut agensi media berpangkalan di Perancis itu, artikel berkenaan dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan gambar memaparkan Musk menari bersama beberapa Isteri Robot sebenarnya direka oleh pemuda berasal dari Chicago, Amerika Syarikat (AS) yang hanya mahu dikenali sebagai Pablo Xavier menggunakan perisian Midjourney.
Xavier adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan imej palsu pemimpin Gereja Roman Katolik, Pope Francis yang memakai jaket puffer persis bintang rap terkenal Drake.
Gambar tersebut dijana oleh AI dan berjaya memperdaya orang ramai.
"Setelah melakukan penelitian, kami mendapati artikel dan imej pengasas Tesla ini adalah palsu dan ia dijana oleh AI.
"Ia direka oleh Guerro Art (Pablo Xavier) iaitu artis sama yang menghasilkan imej palsu Pope Francis," kata wartawan, Vedika Bahl.
Pada Oktober tahun lalu, Musk memperkenalkan robot humanoid pertama keluaran syarikatnya Tesla dalam satu persidangan di Silicon Valley, California.
Robot diberi nama Optimus itu bagaimanapun dikritik kerana hanya mampu melakukan pergerakan terhad berbanding robot humanoid syarikat gergasi lain.
Musk bagaimanapun menyatakan Optimus boleh melakukan tugas yang rumit dan akan dijual kepada orang ramai dalam masa tiga hingga lima tahun dengan harga kira-kira AS$20,000 (RM92,740). - Sinar Harian memetik agensi
#Elon Musk #isteri robot #palsu #AI
;