Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Mac 21, 2025 23:59 MYT
Mac 21, 2025 23:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 21 Mac 2025.
Lapangan Terbang Heathrow di United Kingdom terpaksa ditutup selepas berlaku kebakaran di sebuah stesen janakuasa elektrik yang membekalkan tenaga ke kemudahan itu.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menasihatkan pengembara negara itu supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting menerusi pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas hujung minggu ini berikutan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di kedua-dua arah masuk dan keluar.
Gunung Lewotobi yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus lewat malam Khamis dan berlanjutan hingga pagi Jumaat, menyebabkan pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini mengesahkan bahawa lima lagi petugasnya terbunuh di Gaza dalam tempoh beberapa hari lepas.
Ribuan rakyat Turkiye terus mengadakan protes pada Khamis bagi membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang dianggap sebagai tindakan tidak demokratik.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menandatangani perintah eksekutif yang bertujuan untuk mengurangkan peranan Jabatan Pendidikan Persekutuan, sekali gus menepati janji kempen yang telah lama dibuat kepada golongan konservatif.
Hamas mendedahkan sebuah video pada Khamis yang menunjukkan serangan roket dilancarkan ke arah Tel Aviv, di tengah Israel.
Pembantu Presiden Rusia, Yury Ushakov pada Khamis mengumumkan bahawa pusingan baharu rundingan antara Rusia dan Amerika Syarikat (AS) akan diadakan pada 24 Mac di Riyadh, Arab Saudi.
Tentera Sudan semakin hampir menguasai Istana Presiden di ibu negara Khartoum pada Khamis, buat pertama kali sejak pertempuran meletus dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada 2023.
Jurucakap Briged Saraya Al-Quds, sayap bersenjata Jihad Islam Palestin (PIJ), Naji Abu Sais atau lebih dikenali sebagai Abu Hamza dilaporkan syahid bersama isterinya dalam serangan udara Zionis Israel di Nuseirat, Gaza pada Isnin lalu.