Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 24, 2025 23:59 MYT
Februari 24, 2025 23:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 24 Februari 2025.
Timor-Leste berkemungkinan besar menyertai ASEAN sebagai anggota tetap pada Sidang Kemuncak ke-47 ASEAN di Kuala Lumpur Oktober ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto secara rasmi melancarkan dana kekayaan berdaulat, Daya Anagata Nusantara (Danantara) yang bertujuan mengurus aset milik kerajaan bernilai AS$900 bilion, bermula dengan modal permulaan sebanyak AS$20 bilion.
Sebuah penerbangan American Airlines yang dalam perjalanan dari New York ke Delhi terpaksa dilencongkan ke Rom susulan ancaman bom pada petang Ahad.
Blok Kesatuan Demokratik Kristian dan Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU) mendahului pilihan raya Jerman dengan memperoleh 26.8 peratus undi.
Dua kanak-kanak maut dalam insiden letupan rocket-propelled grenade di wilayah Siem Reap, barat laut Kemboja, kata ketua pembersihan periuk api pada Ahad.
Industri penyiaran Pakistan terus berdepan cabaran getir, terutamanya penyebaran berita palsu, ucapan kebencian, maklumat salah dan maklumat palsu.
Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt pada Sabtu berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yakin dengan keupayaannya untuk merundingkan perjanjian dengan Rusia bagi menamatkan konflik Ukraine, mencadangkan krisis yang berlarutan selama tiga tahun itu boleh berakhir seawal minggu ini.
Pelancong asing yang memasuki Korea Selatan kini boleh mengisi kad ketibaan secara dalam talian sehingga tiga hari lebih awal bermula Isnin, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian kehakiman negara itu.
Presiden Republik Demokratik Congo, Felix Tshisekedi telah menolak dialog dengan pemberontak M23 dalam mesyuarat bersama pemimpin kerajaan gabungannya dan mengumumkan pembentukan kerajaan perpaduan nasional.
Oman, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Mesir dan Iraq mengalami cuaca sejuk dan tidak stabil, menurut kenyataan berasingan daripada jabatan meteorologi masing-masing.