Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Februari 20, 2025 23:59 MYT
Februari 20, 2025 23:59 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 20 Februari 2025.
China menyokong usaha Malaysia sebagai pengerusi bergilir ASEAN dan sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama serantau dan mencapai hasil yang bermanfaat, kata jurucakap kementerian luar China.
Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan 25 peratus tarif terhadap import automotif, semikonduktor dan farmaseutikal kelak merupakan satu cabaran kepada Malaysia.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan harapan agar gencatan senjata dapat dicapai di Ukraine, sambil menekankan keperluan dialog antara kedua-dua pihak bagi menamatkan perang yang berlarutan.
Satu misi arkeologi bersama Mesir-Britain telah menemui makam purba Raja Thutmose II berhampiran Luxor, menjadikannya penemuan makam diraja firaun pertama dalam lebih 100 tahun, menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan untuk mengembalikan penerbangan terus antara Malaysia dan Bahrain sedang dibincang.
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian ketika lawatannya ke Tehran.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mengecam Volodymyr Zelenskyy sebagai "seorang diktator tanpa pilihan raya" dan menegaskan, Presiden Ukraine itu perlu bertindak segera untuk mendapatkan perdamaian atau bakal kehilangan negaranya.
Presiden Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain (SCIA), Shaikh Abdulrahman bin Mohammed bin Rashid Al Khalifa menekankan keperluan untuk memperkukuh titik persamaan antara mazhab dalam Islam serta mendukung prinsip yang memupuk pemikiran dan tingkah laku yang membina.
Satu penyakit baharu yang tidak dikenal pasti telah dilaporkan di barat laut Republik Demokratik Congo (DR Congo), yang sedang berdepan pelbagai krisis kesihatan awam dan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Presiden Rusia, Vladimir Putin sekali lagi menegaskan kesediaan Moscow untuk kembali ke meja rundingan mengenai Ukraine tetapi menekankan bahawa membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat (AS) adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.