Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 9, 2025 23:59 MYT
Januari 9, 2025 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 9 Januari 2025.
Academy of Motion Picture Arts and Sciences menunda pengumuman pencalonan untuk Anugerah Oscars yang akan datang selama dua hari ke 19 Jan berikutan kebakaran hutan yang berterusan di kawasan Los Angeles, lapor media Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Rumah selebriti terkenal Amerika Syarikat yang juga hos TV, pelakon dan model, Paris Hilton, di Malibu musnah sepenuhnya akibat kebakaran di Daerah Los Angeles, California.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Indonesia telah menyatakan komitmen untuk membantu dan memberi kerjasama kepada Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra telah menyatakan visinya untuk mengubah Phuket, sebuah wilayah di selatan negara itu, menjadi destinasi pelancongan premium yang mampu menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.
Parlimen Lubnan pada Khamis memilih ketua tentera, Jeneral Joseph Aoun, sebagai ketua negara.
ASEAN diseru memainkan peranan lebih signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi global, sejajar dengan kedudukannya sebagai blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang dekad akan datang.
Polis Afrika Selatan menahan lima individu pada Rabu, termasuk seorang dipercayai cucu bekas Presiden Nelson Mandela kerana merampas kereta dan memiliki senjata api tanpa lesen.
Presiden Korea Selatan yang digulingkan, Yoon Suk Yeol, berdepan percubaan baharu yang lebih tegas untuk ditahan atas tuduhan pemberontakan.
Beberapa letupan telah memusnahkan depot senjata dan peluru di tenggara Cuba, menurut Kementerian Angkatan Bersenjata Revolusi negara pulau Caribbean itu.
Seorang pendaki yang dilaporkan hilang selama 13 hari ditemukan hidup pada Rabu semasa operasi pencarian oleh pihak berkuasa di Australia.