Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 8, 2025 23:58 MYT
Januari 8, 2025 23:58 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 8 Januari 2025.
Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memulakan analisis perakam data penerbangan (FDR) pesawat Jeju Air, manakala pasukan penyiasat bersama kedua-dua negara mempercepatkan siasatan terhadap komponen-komponen utama daripada serpihan pesawat termasuk enjin dan sayap utama di lokasi kejadian.
Mahkamah Rayuan New York pada Selasa menolak permohonan presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghentikan proses jatuh hukum yang dijadualkan pada Jumaat ini.
Kira-kira 170 peranan baharu dijangka diwujudkan dan 92 juta pekerjaan akan terjejas menjelang 2030 selain menghasilkan peningkatan bersih sebanyak 78 juta pekerjaan baharu, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Seorang pelakon China yang dilaporkan hilang minggu lalu berhampiran sempadan Thailand-Myanmar dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia, menurut Polis Diraja Thailand.
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 15 Jan, sebagai sebahagian daripada perjalanan beliau ke tiga negara dari 13 hingga 17 Jan yang turut merangkumi Bahrain dan Jerman.
Tentera Amerika Syarikat yang didakwa meletupkan sebuah Cybertruck Tesla di luar Hotel Trump di Las Vegas, Nevada minggu lalu menggunakan ChatGPT untuk merancang serangan itu.
Sebanyak 30,000 penduduk di kawasan mewah Los Angeles dipindahkan susulan kebakaran hutan yang semakin marak melanda bandar itu.
Kementerian Luar Qatar pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan antara pejuang Hamas dan Israel untuk mencapai perjanjian gencatan senjata masih diteruskan.
Hamas pada Selasa menegaskan bahawa Israel mesti menghentikan sepenuhnya serangan ke atas Gaza di bawah sebarang perjanjian pembebasan tahanan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menjelaskan bahawa peningkatan penularan virus pernafasan, khususnya "human metapneumovirus" (hMPV) di China, adalah sejajar dengan corak biasa musim sejuk, tanpa sebarang pengisytiharan kecemasan meskipun perkara itu mendapat perhatian ramai.