Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Disember 29, 2024 23:59 MYT
Disember 29, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 29 Disember 2024.
Penerbangan KLM KL1204 dari Oslo ke Amsterdam terpaksa melakukan pendaratan cemas di Norway pada malam Sabtu, dengan semua penumpang dan kru dilaporkan selamat, menurut syarikat penerbangan Belanda pada Ahad, lapor Xinhua.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menggesa penyokongnya turun ke jalanan "untuk mempertahankan undi" ketika beliau bersiap sedia mengangkat sumpah bagi penggal 2025-2031 pada 10 Januari, lapor Xinhua.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan bantuan kecemasan bencana kepada penduduk yang terjejas akibat kebakaran belukar besar di tenggara negara itu, lapor Xinhua.
Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Ahad sekali lagi gagal hadir untuk sesi soal siasat dalam penyiasatan terhadap kegagalannya melaksanakan pengisytiharan undang-undang tentera, sekali gus meningkatkan kemungkinan badan penyiasat memohon waran tangkap terhadapnya, lapor Agensi Berita Yonhap.
Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas pesawat ringan terhempas di utara Sydney pada Ahad, menurut pihak polis, lapor Xinhua.
United Kingdom (UK) menyeru siasatan bebas berhubung nahas pesawat Azerbaijan Airlines yang dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia, lapor agensi berita Jerman dpa.
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut, manakala dua lagi cedera dalam satu pergaduhan berhampiran pusat penempatan pelarian di bandar pelabuhan utara Jerman, Hamburg, lapor agensi berita dpa.
Kepungan lebih 80 hari oleh Israel di utara Gaza membahayakan nyawa 75,000 rakyat Palestin yang masih berada di kawasan itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Satu kemalangan melibatkan kereta api Brightline dengan sebuah trak bomba dilaporkan berlaku di Delray Beach, Florida, Amerika Syarikat pada Sabtu.
SEKURANG-kurangnya 28 orang maut selepas sebuah pesawat terbang keluar dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan Korea Selatan.