Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Disember 17, 2024 23:59 MYT
Disember 17, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 17 Disember 2024.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) Thailand memutuskan untuk menyiasat beberapa pegawai kerajaan yang dituduh membenarkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra tinggal di hospital dan bukannya penjara.
Pihak berkuasa Filipina bersedia membawa pulang Mary Jane Veloso, banduan yang dijatuhkan hukuman mati di Indonesia atas kesalahan menyeludup dadah, menurut Menteri Penyelaras Bidang Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Hal Ehwal Penjara, Yusril Ihza Mahendra.
Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, dianggap sebagai jambatan penghubung dalam memperkukuh kerjasama antara rantau ASEAN dengan kuasa besar global.
Majlis Pelarian Norway (NRC) melaporkan hanya 285,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza telah menerima bahan asas perlindungan setakat akhir November.
Sebelas warga India ditemukan maut di sebuah restoran di kawasan peranginan pergunungan Gudauri, Georgia.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata, pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan hubungan dua hala dan membuka jalan untuk mempercepat pelaksanaan projek bersama.
Menteri Kewangan Kanada, Chrystia Freeland, meletakkan jawatan pada Isnin selepas berselisih faham dengan Perdana Menteri, Justin Trudeau mengenai isu menangani kemungkinan tarif Amerika Syarikat (AS), memberi tamparan tidak diduga kepada kerajaan yang sudah sedia tidak popular.
Blok Ekonomi Organisasi Antara Kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) akan meneliti permohonan penyertaan Syria jika pihak berkuasa baharu negara itu mengesahkannya, kata Timbalan Menteri Luar Rusia merangkap Sherpa Rusia dalam BRICS.
Bekas Presiden Bashar al-Assad mendakwa, beliau melarikan diri dari Syria selepas Damsyik jatuh dan menyifatkan pemimpin baharu negara itu sebagai 'pengganas.'
Beberapa bangunan kedutaan di negara kepulauan Pasifik, Vanuatu, musnah akibat gempa bumi berukuran 7.3 magnitud pada Selasa.