Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Disember 13, 2024 23:59 MYT
Disember 13, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 13 Disember 2024.
Palestin memuji Ireland kerana menyertai kes genosid yang dibawa Afrika Selatan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa lebih banyak negara untuk menyertai kes itu.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, mempertahankan pengisytiharan undang-undang tentera yang kontroversi sebagai tindakan pentadbiran dan menafikan tuduhan pemberontakan terhadapnya, sambil berikrar untuk berjuang hingga ke saat akhir sama ada berkaitan pendakwaan atau siasatan terhadap pengisytiharan itu.
Amerika Syarikat mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai US$500 juta untuk Ukraine bagi menyokong usaha pertahanan negara itu dalam menghadapi serangan berterusan Rusia.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden pada 2026, menurut Setiausaha Komunikasi Sosial Presiden, Paulo Pimenta.
Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan maut manakala ramai lagi cedera dalam insiden kebakaran di sebuah hospital di Dindigul, Tamil Nadu, India.
Misteri kemunculan dron di ruang udara New Jersey telah mengundang kebimbangan komuniti di negeri timur laut Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap kerajaan baharu Syria mengumumkan pada Khamis bahawa Perlembagaan dan Parlimen negara itu akan digantung selama tempoh peralihan tiga bulan selepas penyingkiran Presiden Bashar al-Assad.
Majalah Time menobatkan Presiden Pilihan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai 'Person of the Year' kerana kesannya yang ketara terhadap politik dan peranan negara itu di peringkat global.
Program Makanan Sedunia (WFP) merayu dana segera bagi memperluaskan operasi bantuan kepada 2.8 juta rakyat yang terjejas dan berdepan krisis makanan di Syria, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Elon Musk menjadi individu pertama dengan anggaran kekayaan melebihi AS$400 bilion.