Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Disember 2, 2024 23:57 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 2 Disember 2024.
1. 14 wilayah selatan Thailand ambil langkah waspada hadapi banjir 3-5 Disember
Empat belas wilayah di selatan Thailand telah diberi amaran untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat, limpahan air, dan banjir berpanjangan antara 3 hingga 5 Disember ini.
2. Kes HIV di Filipina dijangka cecah 215,400 menjelang hujung tahun
Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) pada Ahad memaklumkan bahawa jumlah kes HIV di negara itu dijangka mencecah 215,400 sebelum penghujung 2024.
3. Rakyat Palestin di Gaza bergantung sepenuhnya pada bantuan kemanusiaan - UNRWA
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa rakyat Palestin di Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, sementara keupayaan PBB memenuhi mandatnya terus merosot, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
4. Dron Israel dilapor lakukan intipan di Beirut
Pesawat tanpa pemandu (dron) peninjau milik tentera udara Israel dilaporkan melakukan pengintipan di Beirut, Lubnan.
5. Bekas Menteri Pertahanan Israel beri amaran pembersihan etnik di Gaza
Bekas Menteri Pertahanan Israel menuduh negara haram itu melakukan jenayah perang dan pembersihan etnik di Semenanjung Gaza.
6. Presiden Biden beri pengampunan kepada anak lelakinya
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah memberikan pengampunan kepada anaknya Hunter Biden walaupun sebelum ini berjanji tidak akan berbuat demikian, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
7. Trump ancam kenakan tarif 100 peratus terhadap negara BRICS jika dolar digantikan
Presiden Terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu mengeluarkan amaran yang beliau akan mengenakan tarif 100 peratus terhadap mana-mana negara BRICS yang cuba menggantikan penggunaan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa, lapor AA.
8. Oxford pilih 'brain rot' sebagai perkataan tahun 2024
Oxford University Press memilih istilah slanga "brain rot" sebagai perkataan tahun ini melalui undian awam, lapor Sputnik.
9. 100 negara sokong perjanjian hadkan pengeluaran barangan plastik
Rundingan terakhir bagi mencapai perjanjian antarabangsa untuk mengawal pencemaran plastik memasuki fasa genting apabila lebih 100 negara menyokong cadangan mengehadkan pengeluaran plastik.
10. Hampir 4,000 barangan makanan dijangka alami kenaikan harga di Jepun
Trend kenaikan harga makanan di Jepun dijangka berterusan tahun depan apabila lebih 3,900 barangan makanan akan mengalami kenaikan harga antara Januari dan April, lapor Xinhua.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Joe Biden #Gaza #Israel #UNRWA #PBB #Palestin #Filipina #HIV #banjir #Thailand #BRICS #Jepun
;