Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 19, 2024 23:59 MYT
November 19, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 19 November 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil bahagian dalam acara berkaitan Sidang Kemuncak G20 seperti pelancaran "Global Alliance against Hunger and Poverty” yang bertujuan membasmi kemiskinan dan kebuluran global.
Pemimpin G20, yang bermesyuarat di Rio de Janeiro, menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat di Semenanjung Gaza dan ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan.
Sempena genap 1,000 hari konflik dengan Rusia, Kuasa Usaha Ukraine di Malaysia, Denys Mykhailiuk, merayu kepada Malaysia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaannya, terutamanya dengan menyediakan peralatan elektrik berkualiti tinggi, yang dianggap penting untuk kelangsungan hidup dan pemulihan Ukraine.
Presiden Paraguay, Santiago Pena, yang menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Brazil, dikejarkan ke hospital pada Selasa selepas mengalami sakit dada, lapor agensi berita Rusia Ria Novosti memetik Paraguay akhbar Ultima Hora.
Isteri Presiden Brazil, Janja Lula da Silva, mencetuskan kontroversi apabila melemparkan kata-kata kesat terhadap bilionair Elon Musk pada sebuah acara sempena berlangsung Sidang Kemuncak 20 (G20), di sini, hujung minggu lalu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump mungkin merancang untuk menghadiri pelancaran roket SpaceX di Texas pada Selasa, satu lagi bayangan hubungan rapatnya dengan pengasas bilionair syarikat itu dan Ketua Pegawai Eksekutif Elon Musk.
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencalonkan bekas Wakil Wisconsin, Sean Duffy, yang kini merupakan hos Fox News, untuk jawatan Setiausaha Jabatan Pengangkutan.
Lebih 20 juta penduduk di Filipina terkesan akibat enam siri taufan yang berlaku di Filipina dalam tempoh lebih sedikit daripada sebulan, yang telah menyebabkan laluan hubungan darat terputus dan menyukarkan misi bantuan.
India mengenakan denda 2,131 juta rupee (AS$25.4 juta) terhadap syarikat induk Facebook, Meta, kerana amalan perniagaan tidak adil dan mengarahkan syarikat itu agar tidak berkongsi data pengguna WhatsApp dengan platform lain dalam kumpulan teknologi Amerika Syarikat (AS) berkenaan.
Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh berpendapat, beliau seperti “gagal” dalam kehidupannya sebagai seorang wanita kerana tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.