Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 8, 2024 23:59 MYT
November 8, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 8 November 2024.
Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh pada Jumaat dalam satu siri serangan udara Israel di seluruh Gaza, lapor Agensi Anadolu (AA).
Gunung berapi Shiveluch di Semenanjung Kamchatka, Rusia, meletus tiga kali dalam tempoh 24 jam lepas, menyebabkan saintis memberi amaran mengenai bahaya aktiviti gunung berapi yang meningkat, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan pada Jumaat.
Taufan Marce (Yinxing) menjejaskan kira-kira 7,233 keluarga di tiga wilayah, lapor Agensi Berita Filipina, memetik Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Jumaat.
Sebuah pesawat Qantas yang dalam penerbangan ke Brisbane terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Sydney selepas mengalami masalah enjin.
Dua orang maut manakala 12 lagi masih hilang selepas sebuah bot nelayan karam di perairan selatan Pulau Jeju pada Jumaat dengan operasi mencari sedang dijalankan, menurut laporan Pengawal Pantai.
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa jutaan rakyat Palestin akan terjerumus ke dalam keadaan huru-hara melainkan negara anggota PBB campur tangan untuk menghentikan penguatkuasaan undang-undang Israel yang melarang operasi agensi itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Kebakaran hutan besar di California memaksa lebih 14,000 penduduk dipindahkan setakat Khamis, lapor Agensi Anadolu yang memetik sumber media.
Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengumumkan pengurus kempennya, Susie Wiles akan berkhidmat sebagai Ketua Turus Rumah Putih, lapor Agensi Anadolu.
Sekumpulan ahli fizik dari Universiti Munster mencipta kod QR terkecil di dunia, sekali gus melayakkan mereka disenaraikan dalam Buku Rekod Guinness, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Perancis pada Khamis menuntut penjelasan daripada Paris Saint-Germain (PSG), kelab bolasepak terkemuka negara itu, berikutan paparan sepanduk pro-Palestin yang dianggap "tidak boleh diterima", oleh para penyokong semasa perlawanan, lapor Agensi Anadolu (AA).