Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 5, 2024 23:59 MYT
November 5, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 5 November 2024.
Dengan hanya beberapa jam sebelum rakyat Amerika Syarikat (AS) keluar mengundi, tumpuan dunia termasuk di Malaysia, kini terarah kepada perebutan jawatan presiden antara Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Presiden Donald Trump.
Hasrat calon presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan konflik bersenjata di Ukraine menjadikan kemenangannya dalam pilihan raya yang akan datang lebih utama, kata ahli Bundestag dari parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD), Steffen Kotre kepada Sputnik/RIA Novosti.
Parti Demokrat dan Republikan dijangka tidak memperoleh majoriti besar dalam Kongres semasa pilihan raya legislatif pada Selasa, lapor Agensi Berita Anadolu memetik laporan media tempatan.
Tentera udara Israel menyatakan bahawa mereka telah menyerang aset perisikan Hezbollah berhampiran Damsyik pada Isnin, menyasarkan infrastruktur utama di Syria, yang menurut pihak Syria, melibatkan tapak awam.
Dua lagi kes strain virus mpox yang berpotensi membawa maut dikesan dalam kalangan kontak rapat kes pertama, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), lapor PA Media/dpa.
Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Laut Timur pada pagi Selasa, menurut laporan agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.
Diplomat tertinggi China, Wang Yi, dan Takeo Akiba, Penasihat Khas kepada Kabinet Jepun juga Setiausaha Agung Sekretariat Keselamatan Nasional Jepun, mengadakan rundingan di bawah mekanisme dialog politik peringkat tinggi China-Jepun di Beijing pada Isnin.
Malaysia komited untuk memajukan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara BRICS demi kesejahteraan bersama dan pembangunan global yang lebih seimbang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr., menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan penting yang diberikan semasa operasi bantuan selepas Taufan Kristine yang dahsyat.
Mogok oleh puluhan ribu pekerja Boeing berakhir selepas mereka menerima tawaran yang lebih baik oleh pengeluar pesawat AS itu, termasuk kenaikan gaji sebanyak 38 peratus dalam tempoh empat tahun, menurut kesatuan sekerja IAM pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).