Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 23, 2024 23:59 MYT
Oktober 23, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 23 Oktober 2024.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Sri Lanka pada Rabu mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan serangan di kawasan pelancongan.
Kerajaan Nepal mengharamkan penggunaan botol plastik di hotel bertaraf empat bintang dan ke atas.
Angka korban akibat letupan lori tangki petrol di negeri Jigawa, utara Nigeria minggu lalu kini melebihi 181 orang.
Hospital Al-Awda di utara Gaza kini kehabisan bekalan perubatan dan makanan akibat pengepungan berterusan oleh Israel, termasuk bekalan bahan api yang semakin kritikal, kata pengarah hospital Mohamed Saleha.
Liga Arab mengeluarkan deklarasi pada Selasa selepas mesyuarat tergempar wakil-wakil tetap untuk membincangkan cara dan tindakan bagi mengakhiri pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh Israel.
Seorang maut manakala 49 lagi jatuh sakit akibat jangkitan bakteria E.Coli yang dikaitkan dengan burger jenis Quarter Pounder McDonald's di 10 negeri Amerika Syarikat (AS).
Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. pada Rabu mengarahkan agensi kerajaan agar melaksanakan pemantauan empangan dengan teliti selain menguatkuasakan "tindak balas terkawal" dalam pelepasan air.
Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Selasa berkata populasi Ukraine telah menurun dianggarkan sebanyak 10 juta sejak 2014, dan keadaan semakin memburuk selepas serangan Rusia bermula.
Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani pada Selasa mengumumkan bahawa ketua tertinggi Daish di Iraq telah dibunuh.
Presiden China Xi Jinping telah bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di Istana Kremlin di Kazan petang semalam waktu tempatan.