Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 8, 2024 23:59 MYT
Oktober 8, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 8 Oktober 2024.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyeru tindakan segera untuk menamatkan kitaran keganasan dan mendesak akauntabiliti selepas setahun konflik Israel-Hamas.
Kumpulan pro-Palestin turun ke jalanan di Buenos Aires dan Lima sebagai memperingati ulang tahun pertama serangan Israel terhadap Hamas yang mencetuskan konflik di Gaza.
Kes saman Epic Games berakhir dengan hakim di California mengarahkan Google untuk membuka Play Store kepada pihak ketiga selama tiga tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Okt di Vientiane, Laos.
esyuarat Menteri-menteri Luar Negeri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) (AMM) dimulakan di ibu negara Laos hari ini, menjelang Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan yang akan berlangsung pada Rabu (9 Okt) di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC).
Kira-kira 200 orang disyaki tertimbus selepas tanah runtuh melanda kawasan pelabuhan Manacapuru, negeri Amazonas, Brazil.
Kira-kira 250,000 orang menyeberang dari Lubnan ke Syria berikutan serangan yang diperhebatkan oleh Israel, menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Anak kepada pengasas Al Qaeda, Osama bin Laden iaitu Omar dilapor telah diusir dari Perancis.
Keputusan awal menunjukkan Presiden Tunisia, Kais Saied dipilih semula untuk penggal kedua selepas meraih 90.69 peratus undi dalam pilihan raya presiden pada Ahad, menurut Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Bebas Tunisia (ISIE).
Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah menyampaikan arahan untuk memulakan pemindahan penjawat awam ke ibu kota baharu Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur pada Januari 2025.