Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 7, 2024 23:56 MYT
Oktober 7, 2024 23:56 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 7 Oktober 2024.
Peningkatan konflik yang berterusan serta kekurangan kawalan dalam Kabinet Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berpotensi menjejaskan sebarang rundingan tawanan dan gencatan senjata di Gaza.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, perang Israel ke atas Gaza sejak setahun lalu, terus memusnahkan kehidupan rakyat Palestin dan menyebabkan penderitaan kemanusiaan yang dahsyat.
Negara Islam perlu menggunakan kesepakatan dalam menyokong rakyat Palestin sebagai peluang untuk menghentikan perang habis-habisan terhadap Gaza dan genosid oleh Israel, menurut kenyataan dari Kedutaan Iran.
Malaysia menerusi kenyataan negara yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 akan memfokuskan kepada beberapa isu utama, antaranya melibatkan keamanan dan kestabilan serantau serta integrasi ekonomi serantau.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Kuwait semalam untuk mengadakan lawatan kerja rasmi bertujuan memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.
Universiti Oxford mengumumkan mereka kini sedang membangunkan vaksin yang menentang kanser ovari yang diharap akan menghapuskan penyakit ini dari muka bumi dalam masa terdekat.
Ribut tropika Milton kini berubah menjadi taufan dan dilaporkan menuju ke Florida, Amerika Syarikat, menurut laporan Sputnik yang memetik Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS.
Vietnam sedang mempelawa pelabur untuk membiayai projek penjagaan kesihatan bernilai berbilion dolar di Ho Chi Minh yang dijangka mengubah bandar selatan itu menjadi hab perubatan utama di ASEAN.
Tinjauan menunjukkan Presiden Tunisia, Kais Saied dijangka memenangi pilihan raya presiden pada Ahad.
Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu.