Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Oktober 2, 2024 23:57 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 2 Oktober 2024.
1. Enam maut, sembilan cedera ditembak lelaki bersenjata di Tel Aviv
Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan sembilan cedera apabila dua lelaki bersenjata turun dari trem di Tel Aviv dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
2. Israel gesa sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB susulan serangan Iran
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Majlis Keselamatan badan dunia itu mengadakan sesi tergempar susulan pelancaran hampir 200 peluru berpandu balistik oleh Iran.
3. PBB kecam perluasan konflik di Asia Barat
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Gutteres mengutuk perluasan konflik yang disifatkannya semakin memuncak di Asia Barat.
4. Hamas puji serangan Iran ke atas Israel
Pasukan pejuang Hamas memuji serangan peluru berpandu "heroik" Iran sebagai membalas dendam kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh serta pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah dan Brigedier Jeneral Iran, Abbas Nilforoushan.
5. Serangan Israel: Letupan kuat, asap tebal di lapangan terbang Beirut
Letupan kuat kedengaran dan asap tebal kelihatan di langit berhampiran lapangan terbang di Beirut pada Rabu.
6. Lebih 200,000 hilang tempat tinggal akibat serangan Israel di Lubnan - PBB
Serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria, menurut jurucakap PBB.
7. Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza
Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh awal Rabu dalam serangan udara Israel ke atas kemudahan yang melindungi penduduk kehilangan tempat tinggal di sini, menurut Perkhidmatan Pertahanan Awam.
8. Pasukan MALBATT di selatan Lubnan selamat, tiada kerosakan aset - Mohamed Khaled
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini memaklumkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di Selatan Lubnan, berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan aset berlaku.
9. Pakistan naik taraf lawatan kerja PM Anwar kepada Lawatan Negara
Kerajaan Pakistan menaik taraf status lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan bermula hari ini, kepada Lawatan Negara, menandakan persahabatan yang akrab antara kedua-dua negara.
10. Jimmy Carter catat sejarah bekas presiden AS pertama capai usia 100 tahun
Bekas Presiden Jimmy Carter mencapai usia 100 tahun pada Selasa, menjadikannya bekas komander tertinggi Amerika Syarikat (AS) yang pertama hidup selama satu abad.
#berita pilihan #antarabangsa #Asia Barat #serangan Israel #berita global
;