Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
September 25, 2024 23:59 MYT
September 25, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 25 September 2024.
Sekurang-kurangnya 27,000 orang dipindahkan dari selatan Lubnan dan wilayah Bekaa akibat serangan tentera Israel, lapor Agensi Anadolu memetik Menteri Alam Sekitar Lubnan, Nasser Yassin.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan bersidang dalam satu mesyuarat tergempar pada Rabu bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan buat kali kedua dalam tempoh seminggu, lapor Agensi Anadolu.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengkritik Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) kerana gagal menghentikan apa yang disifatkannya sebagai "genosid" di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Thailand tidak akan memansuhkan skim pengecualian visa dan visa semasa ketibaan yang sedia ada susulan cadangan pelaksanaan sistem Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA), menurut Kementerian Luar Thai (MFA).
Presiden baharu Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake membubarkan Parlimen pada lewat Selasa dan mengumumkan pilihan raya umum bakal berlangsung pada 14 Nov.
Sekurang-kurangnya 708 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh semasa demonstrasi menentang pemerintahan bekas perdana menteri Sheikh Hasina, kata kerajaan peralihan Bangladesh pada Selasa.
Dua penumpang cedera ketika juruterbang pesawat United Airlines terpaksa membuat maneuver untuk menggelakkan pelanggaran di udara, lapor United Press International (UPI).
Pentadbiran di bawah presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto merancang untuk melaksanakan program pemeriksaan kesihatan percuma bermula tahun depan membabitkan 52 juta penduduk.
Lelaki yang berdepan tuduhan merancang membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa AS.
Kad permainan Pokemon paling diingini dan jarang dijumpai dijual pada harga AS$360,000 (RM1,487,920) dalam lelongan Sotheby's di New York pada Selasa.