Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Ogos 27, 2024 23:47 MYT
Ogos 27, 2024 23:47 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 27 Ogos 2024.
Sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lima kanak-kanak dan ramai lagi cedera dalam beberapa siri serangan udara Israel di seluruh Gaza sejak pagi Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pengasas aplikasi mesej Telegram, Pavel Durov, ditahan di Perancis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap jenayah termasuk pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan transaksi penipuan di platform tersebut.
Bilangan muat turun Telegram di "App Store" meningkat di Perancis dan Amerika Syarikat (AS) selepas pengasas aplikasi itu Pavel Durov ditahan di Perancis, menurut laporan portal TechCrunch, lapor Sputnik.
Jerman menderma 100,000 dos vaksin mpox daripada stok tenteranya kepada negara Afrika yang terjejas akibat penyakit itu, kata jurucakap kerajaan Steffen Hebestreit di Berlin pada Isnin.
Canselor Jerman Olaf Scholz pada Isnin berkata beliau mahu meningkatkan pengusiran pendatang tanpa izin, beberapa hari selepas serangan tikam yang membawa maut di bandar barat Solingen.
Kerajaan Thailand sedang mempercepatkan pemulihan dan pembaikan rumah, hospital, sekolah, jalan raya dan infrastruktur yang rosak di seluruh negara, berikutan banjir yang menjejaskan 13 wilayah.
Kerajaan negeri Sao Paulo di Brazil membentuk kabinet krisis untuk menangani kebakaran hutan yang meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.
Sindrom COVID berpanjangan atau long COVID telah menyebabkan kira-kira sejuta rakyat Amerika Syarikat (AS) terkeluar daripada menyertai tenaga buruh negara itu, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin, lapor Xinhua.
Bekas Perdana Menteri Lubnan, Salim Al Hoss yang pernah lima kali memegang jawatan tersebut, meninggal dunia pada usia 94 tahun.
Apple hari ini secara rasminya mengumumkan penjadualan sebuah acara khas pada 10 September 2024, pukul 1 pagi, waktu Malaysia.