Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Ogos 26, 2024 23:55 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 26 Ogos 2024.
1. Israel, Hezbollah berbalas tembakan, kebimbangan terus memuncak
Pasukan pejuang Hezbollah melancarkan ratusan roket dan dron di Israel pada awal pagi Ahad (25 Ogos), ketika tentera Israel berkata ia menyerang Lubnan dengan kira-kira 100 jet untuk menggagalkan serangan yang lebih besar, dalam salah satu pertempuran terbesar dalam lebih 10 bulan peperangan sempadan.
2. Ketua PBB suarakan kebimbangan selepas Hezbollah, Israel berbalas serangan
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung pertempuran sengit merentasi sempadan antara Israel dan Hezbollah sepanjang malam, menurut kenyataan jurucakapnya pada Ahad.
3. Hamas tolak syarat baharu Israel dalam rundingan gencatan senjata Gaza
Pasukan pejuang Palestin, Hamas menolak syarat baharu Israel yang dikemukakan dalam rundingan gencatan senjata Gaza.
4. Kementerian Kesihatan Gaza terima lebih 1 juta dos vaksin polio
Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan lewat Ahad bahawa pihaknya menerima 1.26 juta dos vaksin polio.
5. Ukraine dakwa 15 wilayah terjejas akibat serangan udara Rusia
Ukraine pada Isnin mendakwa 15 wilayah di negara itu terjejas akibat serangan udara oleh Rusia yang menyasarkan infrastruktur tenaga, lapor Agensi Anadolu.
6. Korea Selatan rekod 11 kes mpox
Sebanyak 11 kes mpox dilaporkan di Korea Selatan setakat ini, namun semua kes yang dikesan merupakan varian Clade II yang kurang berbahaya, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa kesihatan.
7. Banjir: 20 maut, 5.2 juta penduduk terjejas di Bangladesh
Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan lebih 5.2 juta penduduk terjejas di Bangladesh akibat banjir, pada Ahad.
8. 6 masih hilang dalam banjir kilat di Pulau Ternate, Indonesia - BNPB
Banjir kilat yang melanda Pulau Ternate di wilayah Maluku Utara pada Ahad, menyebabkan enam orang masih hilang, menurut kemas kini terkini Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
9. Penahanan pengasas Telegram Durov di Perancis dilanjut - Laporan
Penahanan pengasas Telegram Pavel Durov di Perancis dilanjutkan pada petang Ahad, lapor media Perancis memetik sumber.
10. Wisma Putra pantau situasi di Lubnan, Malbatt kekal selamat
Batalion Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-11 kekal selamat kerana ditempatkan jauh dari zon konflik utama di Lubnan, menurut Kementerian Luar Negeri.
#Gaza #gencatan senjata #Hamas #Hezbollah #Palestin #vaksin #Ukraine #Rusia #mpox #Telegram
;