Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Ogos 23, 2024 23:56 MYT
Ogos 23, 2024 23:56 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 23 Ogos 2024.
Keadaan di Jakarta kini kembali terkawal dan penunjuk perasaan sudah mula bersurai selepas Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) membatalkan pengesahan pindaan undang undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) Indonesia pada Khamis.
Singapura akan melaksanakan saringan suhu dan visual di lapangan terbang Changi dan Seletar untuk pelawat dan kru penerbangan dari tempat yang mungkin terdedah kepada risiko wabak mpox bermula Jumaat (23 Ogos).
Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza pada Khamis memaklumkan bahawa kekurangan bekalan perubatan yang serius akibat perang dan sekatan yang berterusan memaksa hospital untuk mengutamakan rawatan bagi wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.
Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong menegaskan rundingan gencatan senjata dan penyelesaian politik adalah jalan keluar bagi isu antara Palestin dan Israel.
Amerika Syarikat (AS) mengesahkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Kamala Harris bersedia untuk menyampaikan ucapan terbesar dalam karier politiknya pada Khamis (22 Ogos) selepas menerima pencalonan sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Demokrat di sini selepas perubahan bersejarah dalam perlumbaan White House 2024.
Lima warganegara China disahkan maut dalam nahas pesawat ringan di wilayah Chachoengsao, timur Thailand pada Khamis, menurut kedutaan China di Thailand kepada Xinhua, memetik pihak berkuasa Thailand.
Ahli perniagaan Malaysia Tedy Teow Wooi Huat, yang ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand pada tahun 2022, telah diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan, menurut laporan portal berita Thailand.
Ratusan anggota tentera dari pelbagai negara dijangka berkumpul di Indonesia untuk latihan ketenteraan bersama multinasional Super Garuda Shield 2024, pada 26 Ogos hingga 6 September di beberapa lokasi di seluruh negara.
Mahkamah Agung Venezuela pada Khamis mengesahkan kemenangan Presiden Nicolas Maduro dalam pilihan raya pada 28 Julai lalu.
#Jakarta
#Penunjuk perasaan
#Indonesia
#Thailand
#mpox
#Gaza
#Palestin
#PBB
#gencatan senjata
#Kamala Harris