Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Julai 23, 2024 23:58 MYT
Julai 23, 2024 23:58 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 23 Julai 2024.
Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris memperoleh sokongan yang mencukupi bagi memenangi pencalonan presiden Demokrat, lapor media tempatan pada Isnin.
Pengarah Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS), Kimberly Cheatle akui beliau dan agensinya gagal susulan insiden cubaan membunuh bekas Presiden Donald Trump di Pennsylvania minggu lalu.
Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menyalahkan lawan politiknya atas keganasan yang melanda negara itu, berikutan protes pelajar terhadap kuota pekerjaan dalam kerajaan.
Ahli politik Bulgaria sekali lagi gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya parlimen pada Jun, dengan negara itu berdepan satu lagi undian jika percubaan ketiga tidak berjaya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Filipina tidak akan berundur daripada menegaskan haknya di Laut China Selatan yang dipertikaikan, walaupun mencapai perjanjian dengan Beijing untuk mengelakkan konfrontasi di kawasan itu, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru agar usaha dipergiatkan untuk melindungi kanak-kanak daripada pemerdagangan manusia dalam mesejnya sempena Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia yang disambut setiap tahun pada 30 Julai.
Enam orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam kejadian tembakan di Rumah Orang Tua di Daruvar, timur Croatia, pada Isnin, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa menyeleweng dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperintah melucutkan hak berlian dibeli untuk ibunya daripada pembuat barang kemas berprestij.
Laporan Tinjauan Juruterbang dan Juruteknik (PTO) Boeing 2024 meramalkan keperluan hampir 2.4 juta golongan profesional baharu dalam industri penerbangan bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Paris kini sudah bersedia untuk menganjurkan temasya Sukan Olimpik, kata Presiden Perancis semasa lawatannya ke perkampungan Olimpik pada Isnin.