Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Julai 19, 2024 23:55 MYT
Julai 19, 2024 23:55 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 19 Julai 2024.
Perisian yang dibangunkan syarikat peneraju keselamatan siber global, CrowdStrike mengalami gangguan siber terbesar sehingga menjejaskan perjalanan operasi di beberapa negara termasuk Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.
Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura telah mengarahkan lima platform media sosial untuk menyekat 95 akaun dalam talian yang berkaitan dengan usahawan China, Guo Wengui serta organisasi yang bersekutu dengannya, daripada diakses oleh pengguna akhir di Singapura.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras kelulusan Knesset Israel baru-baru ini terhadap rang undang-undang yang menolak penubuhan negara Palestin, menyifatkannya sebagai kesinambungan dasar pendudukan kolonial dan pencabulan hak Palestin.
Sekurang-kurangnya 20 lagi orang terbunuh pada Khamis di Bangladesh apabila polis melepaskan tembakan ke arah pelajar yang memprotes reformasi kuota di Dhaka dan beberapa lokasi lain di negara ini.
Sejumlah 16 mayat ditemukan di beberapa kawasan di Karachi dalam tempoh dua hari lepas ketika suhu yang melambung tinggi melanda bandar pelabuhan selatan itu, menurut pegawai penyelamat pada Khamis.
Ahli parlimen Perancis telah memilih Yael Braun-Pivet, calon dari parti Presiden Emmanuel Macron, sebagai Speaker Dewan Rakyat atau dewan rendah parlimen, untuk penggal kedua pada Khamis.
Jeneral Jennie Carignan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Kakitangan Pertahanan Kanada sekaligus menjadikannya wanita pertama yang memerintah angkatan tentera negara itu.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara rasmi menerima pencalonan Parti Republikan sebagai calon presiden dalam ucapan pertamanya selepas terselamat daripada cubaan membunuh.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dilaporkan secara peribadi menyatakan kebimbangan kepada Demokrat mengenai pencalonan Joe Biden.
Perbicaraan tuduhan pengintipan terhadap Evan Gershkovich, wartawan Wall Street Journal yang dipenjarakan di Rusia, memasuki fasa akhir pada Jumaat apabila mahkamah mula mendengar hujah penutup, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).