Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 25, 2024 23:59 MYT
Jun 25, 2024 23:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 25 Jun 2024.
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange telah bersetuju untuk mengaku bersalah minggu ini atas tuduhan jenayah berkaitan peranannya dalam satu aktiviti kebocoran dokumen sulit kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang terbesar.
Ahli keluarga kepada pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh termasuk kakaknya, terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di barat Bandaraya Gaza pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
Mahkamah tentera pendudukan Israel di Salem pada Isnin melanjutkan untuk kali ketiga penahanan Rasha Hirzallah, seorang wartawan wanita Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) sehingga 11 Ogos.
Raja Maghribi Mohammed VI telah mengarahkan pelaksanaan operasi bantuan perubatan kemanusiaan untuk penduduk Palestin di Gaza, lapor agensi berita Maghreb Arabe Press (MAP) yang memetik Kementerian Luar Negeri, Kerjasama Afrika dan Ekspatriat Maghribi.
Lawatan Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Rusia akan berlangsung apabila "semua syarat yang diperlukan dipenuhi" dan asas untuk menandatangani dokumen telah disempurnakan, kata Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko kepada Sputnik.
Rasionalisasi subsidi diesel Malaysia tidak akan memberi kesan kepada industri trak Thailand, kata Presiden Persekutuan Pengangkutan Darat Thailand, Apichart Prairungruang.
Pegawai jabatan bomba Korea Selatan berkata 17 warga China adalah antara mereka yang terkorban dalam kebakaran kilang bateri Hwaseong pada Isnin. Bagaimanapun, jumlah sebenar masih memerlukan pengesahan lanjut, lapor Xinhua.
Kontinjen 400 pegawai polis Kenya, kumpulan pertama daripada 1,000 anggota, berangkat dari ibu negara Nairobi awal Selasa untuk ke Haiti, lapor Agensi Anadolu (AA).
Operasi antipemerdagangan manusia antarabangsa utama melakukan 219 tangkapan dan mengenal pasti 1,374 mangsa yang berpotensi, termasuk 153 kanak-kanak, di 39 negara, lapor Agensi Anadolu (AA).
Perdana Menteri China, Li Qiang mempertahankan konsep pasaran terbuka dan menegaskan kepentingan teknologi hijau untuk menstabilkan pertumbuhan global.