Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Jun 12, 2024 23:54 MYT
Jun 12, 2024 23:54 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 12 Jun 2024.
Pendigitalan, tenaga boleh diperbaharui, perdagangan dan ekonomi merupakan antara aspek tumpuan Malaysia yang akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan.
Singapura akan terus meneroka peluang untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk memastikan pengagihan bantuan yang cekap dan tepat pada masanya kepada mereka yang memerlukan, kata Wakil republik itu ke Pihak Berkuasa Palestin, Hawazi Daipi.
Mesir dan Qatar menerima maklum balas daripada Hamas dan Jihad Islam (Islamic Jihad) berhubung cadangan gencatan senjata serta pertukaran tawanan baru-baru ini, menurut Kementerian Luar Mesir lewat Selasa, lapor Agensi Anadolu.
Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barangan komersial terkandas di sempadan Rafah di Mesir, menurut kenyataan Direktorat Jeneral Kesatuan Eropah untuk Perlindungan Awam dan Bantuan Kemanusiaan pada Selasa.
Hunter Biden didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api haram dan di bawah pengaruh dadah.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memaklumkan beliau dan keluarga menerima keputusan kes anaknya, Hunter Biden yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api haram dan di bawah pengaruh dadah
Jasad Naib Presiden Malawi, Saulos Klaus Chilima dan mereka yang terkorban dalam nahas pesawat dihantar pulang ke ibu negara Malawi, Lilongwe pada Selasa.
Seorang kanak-kanak berusia empat tahun di timur India disahkan positif virus H9N2, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beratus-ratus haiwan mati dalam kebakaran yang melanda pasar Chatuchak di Bangkok awal pagi Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.
Pemimpin-pemimpin Islam di Selatan Thailand meminta delegasi Duta Besar Negara-Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat mewujudkan satu polisi keamanan negara Islam bagi menyelesaikan konflik di negara-negara Islam lain.