ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 10 Jun 2024.


1. Angka korban rakyat Palestin akibat serangan Israel mencecah 37,000

Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober lepas meningkat kepada 37,084 orang, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) yang memetik pihak berkuasa kesihatan tempatan.



2. PM Singapura mulakan lawatan pengenalan ke Brunei dan Malaysia

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, akan memulakan siri lawatan pengenalannya ke ibu kota Asia Tenggara, bermula dengan Brunei dan Malaysia, dari 11 hingga 12 Jun ini.


3. Adik perempuan Kim Jong-un beri amaran kepada Korea Selatan

Kim Yo Jong yang juga adik pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, memberi amaran berhubung tindak balas baharu terhadap Korea Selatan sekiranya negara itu terus melakukan penghantaran risalah propaganda mengecam pemerintahan Jong-un.


4. Ketua parti The Republicans Perancis tolak pakatan dengan parti Macron

Ketua Parti The Republicans Perancis, Eric Ciotti, menolak kemungkinan untuk membentuk gabungan dengan Parti Renaissance yang dipimpin oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron selepas pilihan raya kilat untuk dewan rendah Perancis pada Jun-Julai ini.


5. Arab Saudi undang 1,000 lagi warga Palestin tunai haji

Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk mengundang 1,000 lagi ahli keluarga warga Palestin yang terkorban atau cedera di Gaza untuk menunaikan ibadah haji, lapor Saudi Press Agency (SPA).


6. Arab Saudi pertimbang perluas inisiatif 'Makkah Route' ke negara lain

Kerajaan Arab Saudi sedia mempertimbangkan untuk meluaskan lagi pelaksanaan inisiatif 'Makkah Route' ke negara-negara lain yang berminat demi keselesaan perjalanan jemaah menunaikan haji.


7. 10 cedera dalam insiden tembakan di Wisconsin

Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dalam insiden tembakan awal pagi di Madison, ibu negeri Wisconsin, Amerika Syarikat (AS), pada Ahad.


8. Kalah teruk dalam pilihan raya EU, PM Belgium letak jawatan

Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo meletakkan jawatan selepas partinya mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah (EU) pada Ahad.


9. Personaliti TV Britain, Michael Mosley ditemui mati di Pulau Symi

Personaliti berusia 67 tahun itu yang menjadi wajah terkenal di TV Britain selama dua dekad ditemui pada pagi Ahad sekali gus, menamatkan pencarian selama empat hari termasuk pesawat, dron dan anjing pengesan.


10. Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz letak jawatan

Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz meninggalkan kerajaan darurat sebagai tanda perpecahan yang semakin ketara berhubung rancangan pasca konflik Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk Gaza.